Dua penguat kuasa atur kemasukan warga asing direman

Iklan
Mereka ditempatkan di Lokap SPRM Pulau Pinang sepanjang tempoh reman.

GEORGE TOWN - Dua pegawai agensi penguat kuasa direman tiga hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Muhamad Qayyum Noordin di Mahkamah Majistret di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pegawai berusia lingkungan 40-an itu ditahan antara jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang pada Jumaat ketika hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi dirakamkan keterangan.

Menurut sumber, tangkapan kedua-dua pegawai itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki Bangladesh di sebuah hotel di sini pada jam 9 malam, Khamis.

Iklan

"Kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa itu dipercayai telah bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya," katanya di sini pada Sabtu.

Tambah sumber, berdasarkan siasatan awal, lelaki Bangladesh bersama pegawai agensi penguat kuasa lelaki terbabit didakwa telah meminta wang sebanyak RM4,500 daripada seorang lelaki warga Indonesia yang tiba di LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan membantunya masuk ke nagara ini.

Dua pegawai penguatkuasa tiba di Kompleks Mahkamah George Town pada pagi Sabtu.

Iklan

"Lelaki warga Indonesia terbabit kemudian meminta tempoh untuk menyediakan wang berkenaan sebelum diarahkan pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

"Susulan daripada itu, SPRM Pulau Pinang telah menahan lelaki warga Bangladesh terbabit selepas dia dipercayai menerima wang kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia berkenaan.," katanya lagi.

Sumber berkata, lelaki Bangladesh tersebut direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown pagi Jumaat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan.

Katanya, kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit di siasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 manakala lelaki warga Bangladesh itu pula disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) akta sama.