Sembilan mat rempit 'tersungkur'

Iklan
Sembilan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kajang-Seremban serta Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) ditahan polis pada Sabtu. Foto: PDRM.

KUALA LUMPUR - Sembilan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kajang-Seremban dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) ditahan polis pada Sabtu.

Penahanan kesemua lelaki tempatan bermula jam 2.05 pagi itu dilaksanakan menerusi Op Samseng Jalanan oleh sepasukan Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penunggang berusia lingkungan 16 hingga 24 tahun itu ditahan secara berasingan.

Katanya, antara aksi berbahaya yang dikesan ialah 'superman', bersaing sesama sendiri serta melakukan zig-zag.

Iklan

"Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha 135LC, Honda Wave dan Yamaha 125ZR yang digunakan mereka.

"Kesemua tangkapan dan rampasan masing-masing telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai serta BSPT IPD Subang Jaya," katanya pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujar beliau, polis turut mengeluarkan 12 saman atas pelbagai kesalahan.

Tegas Mohd Yusri, JSPT mengingatkan penunggang motosikal supaya memastikan undang-undang serta peraturan lalu lintas dipatuhi.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.

"Operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa bagi menjamin ketenteraman awam," katanya.