BSH naik RM200, pengorbanan veteran ATM belum diiktiraf sepenuhnya - MACVA

Iklan
Peningkatan bantuan sara hidup (BSH) sebanyak RM200 bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak mempunyai pencen menunjukkan pengorbanan besar mereka kepada negara masih belum diiktiraf sepenuhnya.

SHAH ALAM - Peningkatan bantuan sara hidup (BSH) sebanyak RM200 bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak mempunyai pencen menunjukkan pengorbanan besar mereka kepada negara masih belum diiktiraf sepenuhnya.

Presiden Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA), Datuk Lee Kwang Loc berkata, walaupun peningkatan bantuan itu merupakan suatu penghargaan namun ia masih jauh dari mencerminkan sumbangan sebenar yang telah diberikan oleh para veteran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya telah beberapa kali berbincang dengan kerajaan mengenai isu berkaitan namun jurang pencen bagi veteran yang bersara sebelum tahun 2013 masih belum diselesaikan secara substantif.

"Tidak dinafikan kerajaan meletakkan veteran dan kakitangan awam kerajaan pada tahap yang sama dalam bajet ini tetapi identiti unik veteran belum diiktiraf sepenuhnya.

Iklan

"Bagaimanapun, kami menghargai peningkatan bantuan sara hidup ini yang pastinya merupakan bantuan yang berguna bagi veteran yang benar-benar memerlukan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, menerusi pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa BSH bagi veteran Angkatan Pertahanan Malaysia yang tidak mempunyai pencen akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM500.

Iklan

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan pesara dan veteran serta menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk memberikan jaminan yang lebih baik.

Menurut Kwang Loc, MACVA berharap agar kerajaan terus memberi perhatian kepada keperluan jangka panjang para veteran.

"(Ia) khususnya berkaitan isu pencen bagi mereka bersara sebelum tahun 2013, yang sepatutnya diberi layanan dan jaminan lebih adil.

"Persatuan ini percaya bahawa sumbangan veteran perlu dihormati dan disokong pada tahap yang lebih besar.

"Selain itu, diharapkan kerajaan akan mengambil langkah lebih konkrit dalam dasar-dasar masa depan untuk menyelesaikan masalah-masalah masih belum selesai ini," katanya.

Belanjawan 2025 bebankan kontraktor pembersihan - MACM

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM), Noruddin Idris berkata, Belanjawan 2025 membebankan kontraktor pembersihan dengan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,700, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy).

Beliau berkata, kenaikan gaji minimum sebanyak 13 peratus akan menyebabkan kos operasi kontraktor pembersihan meningkat 11 peratus.

Menurutnya, secara purata keuntungan kasar termasuk peruntukan pengurusan dan pentadbiran hanya 10 peratus daripada harga kontrak.

"Ini bermakna kontraktor akan mengalami kerugian satu peratus, belum lagi ditolak kos pengurusan dan pentadbiran.

"Secara dasarnya MACM tidak menolak kenaikan gaji minimum. Kenaikan tersebut sepatutnya dikongsi dengan pihak pelanggan dan tidak dibebankan kepada kontraktor tanpa penyelarasan harga kontrak berdasarkan kenaikan gaji minimum.

"Pada masa yang sama perlaksanaan ‘multi-tier levy’ turut membebankan kontraktor pembersihan yang bergantung kepada tenaga pekerja asing.

Kerajaan perlu sedar bahawa sektor pembersihan di kategorikan sebagai 4D (kotor, sukar, bahaya) dan dijauhi oleh pekerja-pekerja tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Noruddin, anggapan bahawa kontraktor lebih memilih pekerja asing untuk menjimatkan kos, adalah jauh dari fakta sebenar.

Jelasnya, bagi setiap pekerja asing, kontraktor perlu membayar levi dan lain-lain kos pengambilan tidak kurang dari RM2,500 tidak termasuk keperluan mematuhi Akta 446 iaitu menyediakan penginapan dan keperluan asas pekerja.

"Ini bermakna kontraktor perlu menampung kos tambahan lebih RM200 bagi setiap pekerja asing berbanding dengan pekerja tempatan.

"Jika dulu kontraktor tidak perlu mencarum KWSP untuk pekerja asing, belanjawan 2025 menjadikan caruman KWSP pekerja asing wajib,"ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 'multi-tier levy’ bermakna bagi setiap pekerja asing yang diambil melebihi nisbah yang ditetapkan, kontraktor perlu membayar levi yang lebih tinggi dari RM1,850.

Katanya, bagi sektor pembersihan yang bergantung hampir seratus peratus kepada pekerja asing khususnya di bandar-bandar utama adalah sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan yang mencukupi bagi memenuhi nisbah ditetapkan.

"Ini bermakna kontraktor akan menggunakan pekerja asing melebihi nisbah dan terpaksa membayar levi yang lebih tinggi.

"Secara keseluruhannya Belanjawan 2025 adalah baik untuk pembangunan negara, hanya perlu memahami dan memberi perhatian kepada kekangan yang dihadapi oleh sektor pembersihan.

"Kontraktor pembersihan berkorban untuk kebersihan negara dan keselamatan, kesihatan dan keselesaan rakyatnya, tetapi jangan dijadikan kami korban peraturan yang membebankan," jelasnya.