Pihak berkuasa Thailand bantu usir suspek warga Malaysia sembunyi di Dannok

Iklan
Cubaan seorang lelaki yang mahu melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand selepas terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya gagal. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Cubaan seorang lelaki yang mahu melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand selepas terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya gagal.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand berjaya menahan suspek tersebut pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan penahanan itu berkata, suspek berusia 32 tahun itu dikesan bersembunyi di sebuah hotel di negara jiran tersebut.

Beliau berkata, maklumat berhubung suspek telah diterima Unit Risikan Sempadan (URS) Zon Utara daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkaitan suspek bersabit siasatan Seksyen 324 Kanun Keseksaan melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

Iklan

Menurut beliau, hasil semakan dan risikan mendapati suspek masuk ke Thailand jam 6.42 pagi pada 11 Oktober lalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

"Suspek masuk ke negara jiran dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna kelabu bersama masing-masing seorang lelaki dan wanita dan menginap di sebuah hotel di Dannok, Thailand.

Iklan

"Maklumat yang diperolehi kemudian disalurkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menahan dan mengusir suspek keluar dari negara itu berdasarkan rekod orang dikehendaki ke atasnya," katanya pada Sabtu.

Razarudin berkata, hasil kerjasama URS Zon Utara dan pihak berkuasa Thailand, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di pekan Dannok jam 6.30 petang pada Isnin.

Kata beliau, suspek kemudiannya telah diusir keluar ke Malaysia setelah selesai dokumentasi oleh pihak berkuasa Thailand.

"Anggota dari Balai Polis ICQS Bukit Kayu Hitam kemudiannya telah menahan dan menangkap suspek di pintu sempadan ICQS.

"Suspek ditahan di balai tersebut buat sementara waktu bagi menunggu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba untuk tindakan lanjut," jelasnya.