MACHANG - [DIKEMAS KINI] Akta baharu tahanan rumah akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan sama ada sesi awal, pertengahan atau hujung tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat di mana kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
"Jangkaan kita kalau betul cara kerja, ia hanya boleh dibentang tahun hadapan sama ada sesi awal, pertengahan atau hujung tahun bergantung kepada proses penggubalan rang undang-undang tersebut.
"Ia merupakan satu rang undang-undang baharu, keputusan dasar telah diberikan kepada kabinet. Sekarang Jabatan Penjara Malaysia, KDN (Kementerian Dalam Negeri) serta agensi terlibat sedang menggubal rang undang-undang itu. Selesai yang itu kita bawa ke kabinet untuk diluluskan kemudian bentang ke Parlimen," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) KDN di Kampung Bukit Tiu, di sini.
Hadir sama ialah, Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali.
Menurut Saifuddin Nasution, Seksyen 43 Akta Penjara 1995 sebelum ini membolehkan menteri untuk mengarah kepada penjara membuat aturan baharu.
Ujarnya, ia telah digunakan pada tahun 2000 untuk parol, pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib.
"Kabinet telah memberikan kelulusan dasar, sekarang semua agensi terlibat, peguam negara sedang menggubal rang undang-undang tersebut kemudian dibentang balik kepada kabinet sebelum ke Parlimen," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Anwar berkata, pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian.
"Lokasi itu adalah rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Santuni Madani, meningkatkan potensi sesebuah kampung
MACHANG - Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) antara inisiatif kerajaan dalam meningkatkan potensi sesebuah kampung di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung tersebut.
"Seperti mana saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini. Program ini melibatkan golongan belia, penduduk kampung, pelajar sekolah, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.
"Ia turut merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah agama, sukaneka rakyat, persembahan dikir barat, penyampaian sumbangan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan) dan institusi bank," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Santuni Madani Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) KDN di Kampung Bukit Tiu, di sini.
Hadir sama ialah, Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali.
Menurut beliau, program seumpana ini dijangka akan dapat meningkatkan potensi sesebuah kampung sepertimana Kampung Bukit Tiu selaras dengan skop program Santuni Madani yang menyasarkan Matlamat Pembangunan Mampan setempat.
Ujarnya, Bukit Tiu merupakan lokasi keempat dimana ia dimulakan di Tawau, Sabah kemudian Padang Serai, Kedah serta Bandar Baru (Kedah).
"Program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menyampaikan hasrat serta permasalahan mereka kepada agensi terlibat. Ia akan menjadi satu program berterusan dalam merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat," katanya.