Kaji semula harga, elak pelaksanaan projek bermasalah

Iklan
Feroz Hanif

SHAH ALAM – Agensi kerajaan terlibat perlu mengkaji semula harga yang ditawarkan untuk sesuatu tender projek bagi memastikan proses pelaksanaannya dapat berjalan dengan baik.

Presiden Persatuan Jurutera Malaysia (MAE), Datuk Ir Feroz Hanif Mohamed Ahmad berkata, langkah itu perlu bagi mengelak syarikat atau kontraktor yang terikat untuk mendapatkan projek terpaksa memberikan sebut harga yang rendah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu memaksa kontraktor mendapat tender di luar kemampuan dan akhirnya menjadikan projek itu bermasalah seperti lambat siap, spesifikasi dikurangkan, kualiti rendah dan sebagainya,

"Bagi saya agensi dalam kerajaan dah menjalankan prosedur operasi standard (SOP) mereka dengan baik, cuma penambahbaikan perlu dibuat dari segi harga kerana jika harga ditawarkan terlalu rendah, maka kontraktor terpaksa membuang harga lagi untuk mendapat tender berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu penganugerahan projek kepada kontraktor tidak layak yang disuarakan oleh Pengerusi Eksekutif DNex, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir pada Wacana Sinar Harian pada Rabu.

Jelasnya, keadaan ekonomi negara yang baru hendak berkembang menyebabkan harga barang mentah untuk pembinaan meningkat dan mempengaruhi kos projek.

Iklan

"Mungkin kontraktor yang berpengalaman dan berduit mereka boleh tawar harga yang terendah tapi bagi kontraktor baharu mereka terpaksa ikut untuk ‘cari makan’.

"Disebabkan kontraktor baharu cenderung untuk buang harga yang paling rendah, ia mungkin menyumbang kepada kelewatan, masalah lain dalam menyiapkan projek mengikut ditetapkan agensi,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan kontraktor pula, Feroz berharap agar SOP sedia ada ditambah baik bagi memastikan tender dianugerahkan kepada kontraktor atau syarikat benar-benar layak.

"Ketelusan ini penting kerana ia dapat memastikan hasilnya menepati spesifikasi yang ditetapkan serta tidak menimbulkan masalah atau isu pada masa akan datang,” jelasnya.