KOTA BHARU - Peratusan pesakit kanser lewat mendapatkan rawatan di hospital masih kekal 50 peratus kerana lebih percaya bomoh.
Ketua Perkhidmatan Surgeri Payudara dan Endokrin Malaysia, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, keadaan tersebut sama seperti tahun lalu walaupun jumlah serangan penyakit itu meningkat.
Peningkatan termasuk melibatkan kanser payudara dengan nisbah terkini seorang daripada 23 individu disahkan menghidap penyakit itu berbanding 27 individu, lima tahun lepas.
Menurut beliau, banyak kempen kesedaran dilakukan namun rekod terbaharu pendaftaran pesakit kanser mendapat rawatan awal di hospital kekal separuh manakala separuh lagi lewat kerana mengikut cara lama.
"Walaupun mereka sedar diserang kanser, mereka lebih percaya bomoh.
"Dengar ibu dan mentua kata jumpa bomoh selain percaya konon pesakit kanser tidak boleh terkena besi atau pisau, sedangkan itu semua mitos,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pink Walk 2024 X Festival OHMYDIN di Tunjong di sini, pada Sabtu.
Beliau memberitahu, Kelantan mencatat 1,200 pesakit kanser dalam tempoh empat tahun bermula 2019.
Selain itu, katanya, kos perubatan kanser antara yang tinggi berbanding penyakit lain dengan belanja berubat kanser payudara paling mahal dalam kategori penyakit itu diikuti kanser usus, kanser paru-paru, kenser servik dan lain-lain.
"Harga perubatan terapi sasaran ini bernilai ribuan hinggalah ke paras ratusan ribu untuk seorang pesakit,” katanya.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) menyeru kerajaan meluluskan lebih banyak dana untuk ubat-ubat pesakit kanser.
"YKKK mempunyai tabung kanser dan dapat mengumpul RM45,000 dibuat melalui Pink Walk 2024 X Festival OHMYDIN pada hari ini.
"Jumlah itu bagaimanapun belum cukup untuk membantu asnaf dan B40 selain hanya mampu menampung kos-kos kecil seperti pengangkutan serta bayaran bil hospital segelintir mereka,” katanya.