KUALA NERUS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak sebarang kemungkinan akan melakukan serbuan baharu ke atas premis yang dikaitkan dengan kes Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dari semua aspek bagi mendapatkan bukti berhubung kes tersebut sebelum melakukan pendakwaan terhadap individu yang terlibat.
Justeru beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menjalankan serbuan ke mana-mana premis yang disyaki untuk mendapatkan bukti sekiranya terdapat keperluan.
"Kita tak tolak kemungkinan kalau ada (serbuan baharu). Kerja kami untuk mendapatkan bukti-bukti dan kalau kita perlu geledah....kita geledahlah.
"Adalah menjadi tugas kepada pegawai penyiasat saya untuk mencari bukti berkenaan mana-mana tempat yang mempunyai barang bukti.
"Dalam hal penyiasatan ini kita perlu kenal pasti siapa terlibat dan siapa mempunyai wang berkenaan. Wang itu diberi untuk siapa, untuk apa dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan Dan Pentauliahan Kadet KOR Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KOR SUAR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Azam berkata, pihaknya masih enggan mendedahkan ahli politik berpengaruh yang dikaitkan dengan kes tersebut.
"Sampai masanya kelak dan ada keperluan kita akan beritahu siapa dia.
"Seperti saya sebut dalam sidang media (sebelum ini) ia bergantung kepada keperluan pegawai penyiasat saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya setakat ini telah memanggil tidak kurang daripada 20 saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.
Mengulas mengenai hasil rampasan keseluruhan dari sembilan lokasi yang diserbu, Azam berkata, pihaknya akan mendedahkan jumlah sebenar selepas mendapat segala bukti dan keterangan lebih jelas daripada pegawai siasatan.
"Setakat ini saya tak berhasrat nak bagi jumlah...yang itu saya biarkan dulu sehingga kita dapat segala keterangan lebih jelas.
"Saya akan maklumkan dari masa ke masa kerana ini dah jadi isu kepentingan awam," ulasnya.
Seramai 39 kader KOR SUAR UniSZA ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) SPRM oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).
UniSZA merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini yang menubuhkan KOR SUAR bagi melahirkan graduan berintegriti tinggi yang mempunyai pengetahuan dalam pencegahan rasuah.
Pada semester depan kursus KOR SUAR di UniSZA akan diperkasa dengan penambahan program latihan persenjataan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.