Ismail Sabri puji Belanjawan 2025 banyak peruntukan untuk rakyat miskin

Iklan
Hantaran mengenai Belanjawan 2025 yang dimuat naik Ismail Sabri menerusi aplikasi X.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Belanjawan 2025 memberi fokus kepada keperluan rakyat miskin.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, kali ini kerajaan menyediakan banyak peruntukan untuk rakyat yang miskin.

Iklan
Iklan

"Semalam (Jumaat) Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025.

"Kita harap segala yang dibentangkan dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan rakyat khususnya golongan rakyat yang miskin," ujarnya pada Sabtu menerusi aplikasi X.

Iklan

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Antara bantuan yang diumumkan oleh Anwar adalah peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kadar bantuan warga emas dan bantuan kanak-kanak keluarga miskin.

Iklan

Belanjawan 2025 adalah tertinggi yang pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka.


Belanjawan 2025, belanjawan menyeluruh Kerajaan Perpaduan: MB Negeri Sembilan

SEREMBAN - Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat adalah satu usaha menyeluruh Kerajaan Perpaduan untuk bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara dagang yang mampu bersaing dengan negara-negara lain.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha Kerajaan Perpaduan itu tertumpu kepada pengukuhan sektor-sektor ekonomi penting yang dijangka memberi hasil kepada negara dan memperbaiki kemudahan asas dalam sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

"Begitu juga sektor pertanian yang lebih menjurus kepada usaha keterjaminan makanan.

"Usaha-usaha ini akan memanfaatkan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira taraf ekonomi kerana melibatkan perkara-perkara asas bagi rakyat sesebuah negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan Madani 2025 dalam ucapannya berkata, membawa bersama-sama memahami situasi perjalanan ekonomi dunia dan perihal rakyat yang menjadi rujukan utama dalam menghasilkan belanjawan tahun ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, terdapat usaha yang lebih praktikal yang akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2025 adalah terkait dalam menangani kos sara hidup rakyat.

"Selain menaikkan kadar upah pekerja, kerajaan juga terus meningkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan meluaskan Inisiatif Bantuan Rakyat yang melibatkan kumpulan rakyat B40.

"Kerajaan Negeri Sembilan melihat Belanjawan Madani 2025 adalah satu langkah proaktif Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara ini dengan mengangkat kepentingan rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman belanjawan yang melibatkan projek-projek di Negeri Sembilan.

"Projek berkenaan antaranya Projek Pertanian (Peningkatan Hasil Padi), Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Projek Naik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah dan Pembinaan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Palong 1, Jempol.

"Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan berjalan lancar demi kemudahan rakyat di negeri ini," katanya.