'Saya dah lumpuh, boleh bawa haluan masing-masing kalau nak' - Azlan Komeng

Iklan
Tangkap layar hantaran Nur Nilam di TikTok pada Selasa. Kredit TikTok @puan_nilamortiz

ISTERI kepada pelakon lagak ngeri, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz tidak dapat menahan sebak apabila mendengar luahan hati suaminya tentang ‘membawa haluan masing-masing’.

Nur Nilam berkata, dia tergamam sejurus mendengar bait-bait perkataan diluahkan Azlan yang mungkin terlalu banyak memikirkan perkara ke arah itu dan ia agak memberikan kesan buat dirinya sendiri.

Iklan
Iklan
Tangkap layar video temu bual Nur Nilam bersama Astro Gempak pada Jumaat.

Menyifatkan Azlan sebagai suami terbaik, Nur Nilam mengakui tidak mampu membayangkan apa yang bakal terjadi sekiranya dia berpisah dengan aktor tersebut.

”Waktu dia (Azlan) tengok saya lap badan, dia cakap kalau nak bawa haluan masing-masing pun okay.

Iklan

”Dia cakap pada saya yang dia dah lumpuh, tak boleh kerja atau menyara saya. Kita masih berkawan.

”Saya kata kalau setakat cacat tak ada hal lah... Empat tahun kita hadap macam-macam,” katanya menerusi temu bual portal Astro Gempak pada Jumaat.

Iklan

Minggu lalu, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita kemalangan Azlan, 48, dan isteri apabila kereta jenis Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan sewaktu dalam perjalanan ke tapak perniagaan.

Bintang Pagari Bulan tersebut mengalami kecederaan parah iaitu patah pada tangan kanan, kedua-dua belah kaki dan pinggul.

Bukan itu sahaja, Azlan dilaporkan sudah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk mencantumkan semula kulit tangannya yang terkoyak dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, Johor.

Nur Nilam memberitahu, tindakan pantas suaminya yang menjadi 'perisai’ ketika kemalangan membantu mengurangkan impak terhadap dirinya, menyebabkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius melainkan sekadar bengkak serta luka ringan.

Wanita kacukan Siam dan Sepanyol itu turut menambah, Azlan berkemungkinan lumpuh kedua-dua belah kaki akibat kecederaan parah yang dialami.

”Walaupun orang kata selepas ini dia takkan jadi Azlan Komeng seperti sebelumnya, dia tetap suami saya.

”Kalau dia cakap ditakdirkan lumpuh, tak apa saya okay,” ujarnya lagi.