KKR lulus RM2.5 juta bantu penyuaraian trafik Tapah

Iklan
Ahmad (tiga dari kanan) meninjau keadaan penyuaraian baharu aliran trafik satu hala di pekan Tapah sempena lawatan kerjanya pada Sabtu.

TAPAH - Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan RM2.5 juta bagi membantu penyuaraian baharu aliran trafik satu hala di pekan Tapah yang sebelum ini tular susulan rungutan orang ramai.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan bagi fasa jangka pendek itu bagi tujuan kerja-kerja penambahbaikan agar laluan tersebut lebih terurus dan tidak membahayakan pengguna.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan tersebut akan disalurkan tahun ini menggunakan sebahagian peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) atau menerusi lebihan projek lain.

"Dalam jangka masa pendek ini telah dipersetujui semua pihak terhadap kaedah-kaedah yang akan dilaksanakan sama ada ingin menggunakan lampu isyarat pintar atau mematikan lampu isyarat.

Iklan

"Selain itu, pembaikan juga perlu dilakukan untuk mengubah bongkah-bongkah konkrit yang ada di laluan itu dengan keadaan yang lebih sistematik.

Sistem jalan sehala yang melibatkan Jalan Persekutuan FT 001 (Seksyen 539-540) dan Jalan Majlis di pekan Tapah mula dilaksanakan sepenuhnya pada 23 Ogos lalu.

"Sekarang ini nampak seakan seluruh pekan Tapah seperti dibina semula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau penyuaraian trafik pekan Tapah di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ahmad berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya turut menerima cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi membina jambatan dan laluan pintasan sepanjang 200 meter di pekan Tapah dengan kos RM17 juta.

Bagaimanapun katanya, perolehan membabitkan fasa jangka panjang itu perlu dinilai semula kerana kosnya terlalu tinggi dan turut melibatkan pengambilan balik tanah serta pengalihan utiliti.

"Laluan 200 meter dengan RM17 juta, itu pada saya tinggi. Saya dah minta JKR untuk lihat dan kira semula.

"Ia perlu melalui proses value management (pengurusan nilai) dan value engineering (nilai kejuruteraan), barulah kita dapat kos yang betul-betul tepat," katanya.

Sistem jalan sehala yang melibatkan Jalan Persekutuan FT 001 (Seksyen 539-540) dan Jalan Majlis di pekan Tapah mula dilaksanakan sepenuhnya pada 23 Ogos lalu.

Sepanjang tempoh ujian sistem jalan sehala itu, dua lampu isyarat di pekan Tapah telah ditutup bagi tujuan melancarkan aliran trafik.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pelan JKR mengubah haluan jalan sepanjang 1.5 kilometer itu telah menyulitkan pengguna serta peniaga dan penjaja kecil di sepanjang laluan berkenaan.

Kesulitan timbul apabila ruang parkir berkurang dan laluan tidak mesra buat pejalan kaki kerana kenderaan dipandu laju selain faktor keselamatan apabila kenderaan berat terpaksa membuat pusingan di selekoh berbahaya.