Tempoh proses sijil halal dipendekkan 15 hari

Iklan
Ahmad Zahid menyempurnakan gimik perasmian Program Halal On Track 2024@Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Sabtu.

KUANTAN - Tempoh memproses pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dipendekkan kepada 15 hari berbanding 23 hari, sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh memproses pensijilan halal kepada 15 hari itu telah berjalan dan dalam tempoh percubaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan selepas sasaran tempoh 23 hari berjaya dicapai.

"Proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dipendekkan bagi mempercepatkan permohonan pemohon.

Iklan

"Sebelum ini tempoh kelulusan sekurang-kurangnya sembilan bulan kita pendekkan kepada enam bulan, kemudian tiga bulan, seterusnya 23 hari dan sekarang 15 hari sahaja," katanya.

Ahmad Zahid menyerahkan Sijil Halal Champion Negeri Pahang kepada para penerima sempena Majlis Perasmian Program Halal On Track 2024@Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Ahmad Zahid berkata, penambahan 100 Juruaudit Halal Jakim seperti diumumkan pada Belanjawan 2025 antara komitmen kerajaan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

"Sistem MYeHALAL yang akan dipertingkatkan dengan menyatukan 20 agensi kerajaan dan 100 badan pensijilan antarabangsa di bawah satu platform juga dapat mengurangkan birokrasi, meningkatkan ketelusan dan memudahkan penyelarasan proses tersebut," katanya.

Sementara itu katanya, setakat ini kerjasama telah dijalinkan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk lima universiti bagi menyediakan juru audit halal ini.

"Pegawai piawaian halal itu akan ditempatkan di syarikat yang telah memperoleh sijil halal bagi memastikan syarikat terlibat benar-benar mematuhi piawaian yang ditetapkan," ujarnya.

Dalam sidang akhbar itu, Ahmad Zahid berkata, Pahang memperuntukkan 750 ekar tanah untuk cadangan pembangunan Taman Industri Halal di Seksyen 3, Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

"Fasa pertama melibatkan kawasan seluas 250 ekar sebelum ditambah 500 ekar lagi mengambil kira permintaan tinggi pelabur terutama dari China.

"Sudah tentu saya akan bantu kerajaan negeri bagi membawa pelabur ke negeri ini.

"Saya telah bertemu dengan bakal-bakal pelabur dan dalam masa terdekat sebelum akhir tahun ini,pertemuan akan dilakukan sekali lagi.

"Peluang itu saya akan gunakan untuk bawa pelabur melihat sendiri dan memilih kawasan yang ditentukan kerajaan negeri," ujarnya.