UniMAP terima RM100,000 tingkat kemudahan pembelajaran anak autisme di Perlis

Iklan
A-HEART merupakan kemudahan terapi anak-anak autistik berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian yang dilalui oleh golongan itu dan berkeperluan khas.

SHAH ALAM - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima peruntukan RM100,000 bagi tujuan meningkatkan kemudahan pembelajaran anak-anak autisme di Perlis.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, YBR dengan kerjasama Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) UniMAP dan Yayasan Tuanku Syed Putra telah menaiktaraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan golongan autisme dengan bertemakan sejahtera dan lestari.

YBR dengan kerjasama A-HEART UniMAP dan Yayasan Tuanku Syed Putra telah menaiktaraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART.

"Penyediaan pembangunan fasiliti yang baik merupakan sebahagian hasrat YBR untuk memastikan anak-anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu mengembangkan potensi dalam kalangan kanak-kanak istimewa.

Iklan

"Kemudahan dibangunkan di gim terbuka secara tidak langsung menjadi platform untuk mengembangkan potensi diri.

"Ia juga boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga dalam membantu golongan berkenaan meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif serta pergerakan motor atau fizikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas mengenai kerjasama, Syaiful Rizal memaklumkan, ia merupakan langkah positif bagi memastikan anak-anak autisme mendapat kemudahan pembelajaran yang baik dan kondusif.

Tambahnya, ia juga dapat memberikan peluang kepada anak-anak autistik ini untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan penyediaan keperluan yang lebih lengkap dan dapat menerima intervensi terapi secara berkesan serta lestari.

"Diharapkan sokongan berterusan dari semua pihak terutamanya daripada ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta memotivasikan untuk mengikuti sesi pembelajaran yang lebih sempurna dan selesa,” ujarnya.

Pada masa sama, Syaiful Rizal berkata, YBR berharap penganjuran program sedemikian dapat memberi satu impak besar terhadap usaha membantu masyarakat istimewa dan memberi kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat mempelbagai bantuan serta aktiviti kepada yang memerlukan.

Projek pembangunan fasiliti itu bertempat di aras dua, Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Ia merupakan kemudahan terapi anak-anak autistik berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian yang dilalui oleh golongan itu dan berkeperluan khas.