Penyasaran subsidi RON95: PM beri jaminan 85 peratus rakyat tidak terjejas

Iklan
Anwar beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Program Madani Rakyat 2024 di Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan 85 peratus rakyat terdiri daripada golongan B40, M40 dan penjawat awam tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi petrol RON95 yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025, pada Jumaat.

Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi petrol itu sebagai usaha supaya bahan api itu hanya digunakan rakyat dan bukan golongan mahakaya serta warga asing di negara ini.

Iklan
Iklan

"Sekarang kita bantu dengan subsidi, maknanya kerajaan bantu supaya harga tidak naik kepada rakyat susah. Tetapi sekarang ini subsidi petrol ini termasuk warga asing yang tiada kad pengenalan kita bantu, dia tak bayar cukai tapi kita bagi subsidi.

"Orang kaya rumah banglo lima buah, untung puluh juta tetapi subsidi petrol kita bagi. Jadi golongan kaya yang 15 peratus tak termasuk M40, penjawat awam tidak termasuk, tak termasuk B40, pegawai kerajaan, hanya paling kaya tertinggi 15 peratus di atas termasuk dengan warga asing," katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat 2024 di Likas, pada Sabtu.

Iklan
Anwar hadir pada Program Madani Rakyat 2024 di Likas, pada Sabtu.

Katanya lagi, setiap tahun golongan kaya dan juga warga asing telah menggunakan sebanyak 40 peratus subsidi yang melibatkan kos sebanyak RM8 bilion.

"Jadi satu tahun kerajaan murah hati luar biasa kalau istilah lain kerajaan kurang cerdik sebab tiap tahun RM 8 bilion bagi kepada orang kaya dan orang bukan warga negara.

Iklan

"Sebab itu kita kena fikir bagaimana nak ubah, oleh kerana politik kita stabil, rakyat mula faham, kita kata kena ubah, subsidi petrol kena ubah.

"Ubah kepada siapa, tidak kepada rakyat. Jadi jangan bimbang 85 peratus rakyat kekal dengan subsidi maknanya harga kekal RM2.05 tak berubah tapi 15 peratus yang kaya ini bayarlah lebih sikit, dia tak bayar tinggi sampai lebih harga pasaran kita.

"Kalau harga pasaran RM2.65, dia bayar RM2.65, tapi rakyat yang biasa bayar RM2.05, yang kita nak bantah sebab apa, sebab apa nak bantah. Orang asing buat kerja sini dia tak bayar cukai, dia nak guna minyak, nak pakai kereta, pakailah tapi minyak bayarlah ikut pasaran.

"Yang kita tolong siapa, 85 peratus ini yang kita cadang nak laksanakan pertengahan lalu, saya beritahu awal-awal," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sokongan daripada semua pihak berhubung usaha untuk tidak membebankan rakyat sebaliknya mengutip harga yang berpatutan daripada golongan kaya supaya jumlah itu dapat dikembalikan kepada rakyat.