KUCHING - Bot besar atau persendirian dinasihatkan untuk memperlahankan pergerakan sewaktu melalui laluan sungai yang digunakan untuk latihan regata bagi mengelak insiden bot regata karam berulang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, peserta regata turut disaran memakai jaket keselamatan ketika menjalani latihan selain penganjur pertandingan perlu menyediakan bot pengiring sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
"Apabila bot awam perlahan, gelombang yang dihasilkan tidaklah begitu besar... sebelum ini latihan regata memang tiada pemakaian jaket keselamatan jadi saya nasihatkan pakailah jaket.
"Peserta berlatih dalam keadaan cuaca panas terik, jadi bila bot karam mungkin mereka panik menyebabkan usaha menyelamatkan diri mungkin gagal,” katanya pada sidang media di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Royal Bay Commercial Centre di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, lima peserta regata dilaporkan dikhuatiri lemas di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre ketika menjalani latihan apabila bot mereka karam susulan gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.
Mengulas mengenai cabaran hari kedua SAR, Mancha berkata, keadaan air keruh di sungai berkenaan mengehadkan penglihatan penyelam untuk mengesahkan objek yang dikesan di dasar sungai.
"Kita ada juga menggunakan dron dan setakat ini pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan enam selaman ke dasar sungai sejak 6 pagi tadi namun tidak menjumpai mangsa.
"Kita harap semua keluarga mangsa terlibat untuk bersabar dan kita akan berusaha sehingga semua mangsa ditemukan,” katanya sambil menambah kawasan pencarian setakat tengah hari ini meliputi 10 kilometer dari tempat kejadian.
Hari kedua operasi SAR menumpukan kepada dua bahagian iaitu di sekitar lokasi kejadian bot regata karam serta muara sungai.
Dalam insiden pada Jumaat, 11 daripada 16 peserta regata yang juga petugas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya menyelamatkan diri setelah bot mereka karam.
Lima yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama'ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, Mohamad Khairul Bidin, 26, dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23.
Kesemua peserta sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 yang dijadual diadakan pada 1 hingga 3 November ini. - Bernama