SEBAGAIMANA tuntutan Islam, pelakon, Idzham Ismail mengakui menanggung sepenuhnya nafkah isterinya, Siti Abilah Shamsudin dan anak-anak tanpa isteri mengeluarkan wang sendiri.
Izham atau nama sebenarnya Muhammed Idzham Ismail, 36, berkata, sudah beberapa tahun dia tidak membenarkan isterinya memasak di dapur untuk mereka sekeluarga.
"Isteri saya dah bertahun tak masak sebab saya tak nak dia penat. Saya makan di kedai satu keluarga hari-hari dan secara tak langsung bawa anak isteri ambil angin luar,” katanya dalam satu hantaran di akaun Threads.
Izham menegaskan, bab nafkah isteri dan anak-anak diuruskannya sendirian sejak mula berkahwin sehingga sekarang.
Ekoran itu, dia merasa pelik apabila masih ada segelintir lelaki yang tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai suami dalam soal nafkah.
"Yang dah berusaha keras saya faham (dari segi) rezeki mungkin ALLAH SWT nak isteri kongsi sama. Tapi bab nafkah ni saya dari dulu cuba urus seorang diri sampai sekarang,” ujarnya.
Bagaimanapun, menerusi hantaran berasingan, Idzham memaklumkan, fitrah manusia sememangnya ada membuat silap atau jahil namun perlu mempelajari agama untuk memperbaiki kehidupan.
"Ikut ajaran dan hukum Islam, itu sahaja jalan ketenangan,” kongsi aktor berkenaan.
Idzham dan Siti Nur Abilah mendirikan rumah tangga pada 27 Ogos 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Bur Sofea Inara, 7 dan Muhammad Idrus, 4.