TEL AVIV - Serangan dron dilancarkan ke atas rumah percutian milik Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di utara Israel pada Sabtu, beberapa hari selepas rejim Zionis membunuh pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.
Jurucakapnya mengesahkan pemimpin ekstremis itu dan isterinya, Sara bagaimanapun tiada di lokasi tersebut yang terletak di bandar Caesarea, terletak kira-kira 37 kilometer di selatan Haifa di pesisir pantai Mediterranean dan tiada kematian dilaporkan.
Terdahulu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan pelancaran dron dari Lubnan dan mengenai sebuah bangunan manakala dua lagi dron telah dipintas.
Ia turut menghasilkan letupan kuat di bandar pesisir pantai tersebut.
Serangan balas itu jelas sebagai tanda amaran daripada pejuang Hizbullah yang ketika ini masih berperang dengan rejim Zionis sejak kempen pencerobohan dilancarkan ke atas Beirut, kira-kira tiga minggu lalu.
Sebelum ini, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan pejuang Hamas akan meneruskan perjuangan mereka hingga ke titisan darah terakhir meskipun kehilangan dua pemimpin tersohor di tangan musuh dalam tempoh kira-kira empat bulan.
Sementara itu, Teheran mengesahkan Hizbullah yang berada di bawah gerakan Paksi Penentangan anti-Israel bertanggungjawab melancarkan serangan balas tersebut.
Tentera Iran turut berkongsi visual keadaan sekitar lokasi kediaman peribadi Netanyahu selepas kejadian serangan berkenaan.
Pada bulan lalu, pejuang Huthi berpusat di Yemen melancarkan misil balistik ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion ketika pesawat dinaiki pemimpin kontroversi tersebut dijadualkan mendarat, tetapi ia telah dipintas sistem pertahanan udara Zionis. - Agensi