SHAH ALAM - Penyelenggaraan kuarters penjawat awam antara perkara yang perlu diberi perhatian serius agar golongan berkenaan dapat tinggal dengan selesa dan selamat di samping menjalankan tugas secara produktif.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, ia kerana buat masa ini, banyak kuarters penjawat awam yang mengalami masalah kurang pembaikan dan penyelenggaraan sehinggakan tidak dapat didiami dengan baik.
"Kuarters ini adalah keperluan yang wajib dipandang serius bagi memastikan penjawat awam dapat tinggal dengan selesa. Ini menjadikan penjawat awam lebih produktif dalam menjalankan tugas.
"Satu perkara lagi dari aspek keselamatan adalah insiden banjir kilat di ibu kota yang semakin serius. Sistem saliran dan perparitan di negara ini memerlukan penyelenggaraan sewajarnya.
"Peruntukan RM150 juta diperlukan oleh pelbagai agensi agar masalah ini dapat diatasi. Justeru, kita perlu memastikan ia diselesaikan dengan peruntukan wajar menerusi Belanjawan 2025," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan RM5.934 bilion untuk tahun depan berbanding RM5.647 bilion pada 2024 dengan peningkatan 5.08 peratus iaitu bersamaan RM287.4 juta.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); peluasan perlindungan sosial kepada penjawat awam dan Skim Ex-gratia Bencana Kerja melibatkan anggota JBPM.
Sementara itu, Lam Thye berpandangan, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan sebanyak RM 19.5 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga amat perlu memandangkan kementerian tersebut diberi tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Tambah beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan peruntukan sebanyak RM360 juta adalah satu perkara yang amat dialu-alukan agar agensi berkenaan boleh bertindak agresif dalam memerangi rasuah.
"Seperkara lagi yang ingin ditekankan iaitu kenaikan duti eksais terhadap minuman bergula adalah satu langkah baik dalam menjaga kesihatan rakyat. Hasil cukai gula ini dapat digunakan untuk memperkasa agensi kesihatan di negara ini.
"Diharapkan setiap peruntukan mampu mencapai objektif. Semoga kita dapat menyaksikan unjuran ekonomi yang lebih segar, perubahan dapat dijana dan rakyat hidup dengan lebih sejahtera," katanya.