KUANTAN - Orang ramai yang berada di sekitar Jalan Besar dan Jalan Mahkota di sini dikejutkan dengan kejadian kebakaran beberapa unit kedai di kawasan itu pada Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang itu dipercayai melibatkan dua kedai permaidani dan sebuah kedai runcit.
Bagaimanapun, bilangan sebenar premis yang terjejas belum dipastikan memandangkan kerja-kerja pemadaman masih dijalankan sehingga jam 5.30 petang.
Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nik berkata, sebelum kejadian dia berada dalam sebuah program di restoran di atas Menara Kuantan 188 yang terletak berhampiran.
Katanya, ketika mendekati tingkap menara untuk mengambil makanan, dia ternampak asap dari sebuah blok kedai yang terletak antara Jalan Mahkota dan Jalan Besar.
"Masa itu api belum begitu besar namun dalam masa beberapa minit, api semakin merebak.
"Saya agak panik ketika itu kerana sangka kereta di parkir berhampiran lokasi kebakaran lalu segera turun untuk mengalihkannya," katanya.
Nik berkata, dia lega kerana keretanya di parkir di bangunan bersebelahan namun tetap mengalihkan kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
"Semasa berada di bawah, api dah mula besar dan semakin marak kerana angin bertiup agak kencang," katanya.
Menurutnya, hujan lebat yang turun membantu operasi pemadaman dijalankan anggota bomba sebelum kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan.
Maklumat sebenar kejadian belum diterima setakat ini.