Kaedah beli, sewa aset ATM ikut keutamaan kewangan Mindef - Adly

Iklan
Adly Zahari pada sidang media selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di sebuah resort hari ini. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Keputusan untuk membuat perolehan aset pertahanan bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada secara sewaan atau pembelian bergantung pada keutamaan dan pengurusan kewangan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, lazimnya, pembelian aset pertahanan memerlukan komitmen kewangan yang lebih besar berbanding kaedah sewaan.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya kalau lihat ada banyak segmen (aset pertahanan). Jika melibatkan aset tempur dan operasi biasanya kita buat pembelian. Tetapi, kalau lihat dari beberapa aspek terlibat, aset sokongan logistik dan seumpamanya keperluan semasa kita... itu mungkin kita ambil kira dari segi sewaan.

"Hal ini kerana yang penting bagi kita adalah dari segi bagaimana kita menguruskan kewangan," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan membuat perolehan secara sewaan aset-aset pertahanan seperti helikopter bagi kegunaan ATM.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.

Adly berkata, keputusan untuk menyewa aset berkenaan masih lagi memenuhi keperluan Mindef seperti yang termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Iklan

"Paling penting, ia masih lagi dalam rangka KPP... sama ada memperoleh teknologi baharu dalam aset kita melalui pembelian atau sewaan langsung.

"Ini memang kita kaji dari semasa ke semasa. Kerjasama Mindef dan Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan sentiasa dibuat untuk pastikan kita dapat tingkatkan lagi keutamaan dalam menjaga wilayah dan perbatasan kita," katanya.

Mengenai RM21.2 bilion peruntukan kerajaan kepada Mindef dalam Belanjawan 2025, Adly berkata ia akan digunakan bukan sahaja untuk tujuan keselamatan dan pertahanan negara, tetapi juga bagi menjaga kesejahteraan warganya.

"Antaranya kita tumpukan kepada kerja penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kemudahan di kem dan pangkalan ATM, memperkasa veteran ATM dan sebagainya.

"Peningkatan 7.08 peratus daripada belanjawan tahun lepas ini saya fikir dapat beri sesuatu yang baik bukan sahaja kepada anggota perkhidmatan, malah untuk veteran juga," katanya.

Berhubung pasukan Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) yang berada di Selatan Lubnan, beliau berkata Mindef sentiasa berkomunikasi dengan pasukan pengaman berkenaan untuk memastikan status dan keselamatan terkini anggota di rantau bergolak itu. - Bernama