KUANTAN - Kementerian Kesihatan (KKM) menolak dakwaan petugas KKM tidak lagi menguatkuasakan peraturan larangan merokok di premis awam, termasuk kedai makan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, aktiviti penguatkuasaan larangan itu sebaliknya tetap diterus dan dipergiatkan.
"Malah penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dahulunya itu berterusan selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.
"Jadi dakwaan bahawa petugas KKM tidak lagi menguatkuasakan larangan itu adalah tidak benar dan tidak dinafikan masih ada perokok yang berdegil melanggar larangan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Pahang di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.
Dr Dzulkefly berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 98,054 notis telah dikeluarkan seluruh negara dengan nilai kompaun RM 24.5 juta.
"Tahun lalu, 96,127 notis dikeluarkan membabitkan nilai kompaun RM24 juta
"Sekiranya penguatkuasaan PPKHT 2004 diteruskan, saya yakin jumlah notis tahun ini akan melebihi 130,000 dan nilai kompaun akan melebihi RM32 juta," katanya.
Beliau berkata, pihak-pihaknya yang mengkritik pihak KKM tidak menjalankan penguatkuasaan secara serius dalam perkara ini juga boleh melayari pelbagai platform media sosial KKM kerana setiap operasi dijalankan akan dimuat naik dan dikongsikan melaluinya.
Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly mendedahkan ada petugas KKM diancam ketika menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam.
"Ada kes tetapi tidak pada peringkat serius. Sebab itu saya tekankan perlu operasi penguatkuasaan mega melibatkan pelbagai agensi termasuk polis dan agensi penguat kuasa lain," katanya.