Polis siasat dakwaan anak Abuya dikurung, dipaksa kahwin pemimpin GISBH

Iklan
Ummu Atiyah yang berusia 41 tahun itu sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye.

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu siasatan berhubung dakwaan Ummu Atiyah Ashaari menjadi mangsa keganasan seorang pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dilakukan PDRM itu akan menumpukan kesalahan pengurungan salah ke atas anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Ummu Atiyah yang berusia 41 tahun itu sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye.

Kata beliau, wanita itu dipercayai dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.

Iklan

"Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

"Jelasnya di perkampungan terbabit, ia dihuni oleh ramai remaja dan orang dewasa iaitu lingkungan usia 13 dan ke atas," katanya pada Sabtu.

Iklan

Razarudin berkata, Ummu Atiyah juga menyatakan beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu, namun ditangkap oleh penghuni lain.

"Pengadu menyatakan bahawa dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan dengan perbuatan pengikut GISBH yang mengurung dan memisahkannya dengan anak," ujarnya.

Menurut beliau, wanita itu pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping, Perak sekitar 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.

Tambah beliau, pihak polis kini dalam usaha mendapatkan laporan dan keterangan perubatannya.

"Mangsa juga akan hadir dan menunjukkan semula lokasi rumah dia dikurung esok (Ahad) bagi membantu siasatan.

"Kita (polis) juga sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.