KANGAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas pengarah Yayasan milik Kerajaan Negeri Perlis bergelar Datuk bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dan salah guna kuasa.
Difahamkan siasatan berhubung pembelian dua lot tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta pada tahun 2014 dan 2015.
Iklan
Iklan
Menurut sumber, lelaki yang berusia 61 tahun itu ditahan pada pukul 3.13 petang di Pejabat SPRM Negeri Perlis selepas hadir memberi keterangan.
"Siasatan awal mendapati bekas pengarah tersebut telah menggunakan jawatan dan kedudukannya pada ketika itu bagi pembelian dua lot tanah di Mukim Kurong Anai, Perlis yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah yayasan milik Kerajaan Negeri Perlis.
"SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kangar esok," katanya.
Kata sumber lagi, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang sama. Suspek disiasat mengikut Seksyen 17 dan Sekyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.