TEMERLOH - Asam boi selalunya menjadi kudapan ringan bagi mereka yang gemarkan rasa masam masin manis sementara kerepek pisang pula terkenal sebagai makanan ringan yang rangup dikunyah.
Bertitik tolak daripada dua kudapan popular itu, golongan ibu tunggal di bawah program Persatuan Orang Merdeka dan Cakna (Kome Cakna) di Parlimen Temerloh telah mencipta kudapan baharu iaitu kerepek pisang asam boi yang menampilkan kelainan rasa pada kerepek pisang.
Timbalan Pengerusi Kome Cakna, Siti Aisyah Ismail berkata, bermula dari kerepek pisang biasa namun atas bakat dan kreativiti mereka, kudapan itu telah berjaya menjadi produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diinovasi.
"Buat masa ini, selain dijual secara dalam talian, pembeli juga terdiri daripada kedai runcit, kawan-kawan serta pemborong sekitar negeri ini serta difahamkan sudah ada pemborong yang telah memasarkan kerepek ini ke Singapura," katanya.
Tambahnya, asas kemahiran untuk membuat asam boi sendiri yang dimiliki oleh salah seorang pekerja menambahkan lagi keistimewaan hasil tangan golongan ibu tunggal itu.
Menurut Siti Aisyah, permintaan yang tinggi telah merancakkan pembuatan kerepek pisang asam boi tersebut.
Rentetan itu katanya, terdapat 11 ibu tunggal dan asnaf di sekitar Temerloh dan Mentakab tidak melepaskan peluang untuk menjana pendapatan masing-masing dengan menghasilkan produk kudapan ini.
Bagi seorang ibu tunggal, Siti Marhaini Mokhtar, 43, menyifatkan idea kreatif hingga terhasilnya kerepek pisang asam boi telah membuka peluang kepadanya untuk menambah pendapatan keluarga di samping mencari pengalaman dalam industri itu.
Sementara Absah Bidin, 57, pula berkata, program yang dianjurkan untuk ibu tunggal itu sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada mereka untuk terus berusaha dalam menghadapi kehidupan seharian tanpa mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada pihak lain.
Terdahulu, Persatuan Orang Merdeka dan Cakna (Kome Cakna) ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai penggerak Dasar Komuniti Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Selain mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan, program dianjurkan tersebut dapat memperkasakan ilmu keusahawanan kepada wanita untuk berdikari menjana pendapatan sendiri.