AMMAN - Pakar perumahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Balakrishnan Rajagopal menyatakan bahawa pembinaan semula Gaza mungkin mengambil masa 80 tahun jika pasukan pendudukan Israel meneruskan serangan mereka ke atas wilayah itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Menurut laman sesawang rasmi PBB, Rajagopal, penyiasat bebas badan dunia itu yang memantau hak untuk perumahan yang mencukupi melaporkan bahawa menjelang Januari 2024, antara 60 hingga 70 peratus rumah di Gaza telah musnah, dengan wilayah utara menghadapi kadar kemusnahan yang lebih tinggi iaitu 82 peratus.
Beliau menekankan bahawa keadaan bertambah buruk, terutamanya di utara Gaza, di mana kemusnahan hampir mencecah 100 peratus.
Laporan terkini daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menganggarkan bahawa menjelang Mei, lebih 39 juta tan serpihan terdapat di Gaza.
Runtuhan itu bercampur dengan bahan letupan yang tidak meletup, sisa toksik, asbestos daripada bangunan yang runtuh dan bahan-bahan lain.
Rajagopal memberi amaran bahawa pencemaran air bawah tanah dan tanah telah mencapai tahap yang kritikal, menimbulkan kebimbangan sama ada isu ini dapat ditangani tepat pada masanya.
Beliau menyatakan bahawa Gaza mengalami gelombang kemusnahan yang belum pernah terjadi sejak 7 Oktober 2023.
Apabila ditanya mengenai garis masa untuk pembinaan semula Gaza, beliau menekankan keperluan untuk membersihkan runtuhan terlebih dahulu, mendapatkan pembiayaan, dan yang paling penting, pembinaan semula tidak boleh bermula sehingga serangan dihentikan.
Rajagopal menganggap Israel bertanggungjawab mengenakan sekatan ke atas bahan binaan dan peralatan, dengan mendakwa ia mempunyai kegunaan dua fungsi. Beliau juga menegaskan bahawa selepas perang Gaza pada 2014, kurang daripada seribu rumah dibina setiap tahun. - Bernama