Isi rumah lebih RM13,000 tak terkesan

Iklan
T15 merupakan golongan yang tidak terkesan jika subsidi petrol itu ditarik. Gambar kecil: Ahmed Razman

SHAH ALAM - Golongan maha kaya (T15) yang dijangka tidak akan menerima subsidi RON95 adalah terdiri daripada mereka yang memiliki pendapatan isi rumah melebihi RM13,000.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kumpulan berkenaan merupakan golongan yang tidak terkesan jika subsidi petrol itu ditarik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara purata perbelanjaan bulanan penggunaan RON95 adalah sekitar RM500 bagi kumpulan berkenaan dan ia bergantung kepada jenis kenderaan digunakan.

"RM500 itu hanya 3.8 peratus daripada gaji mereka. Jika mereka menggunakan RON95 tanpa subsidi mungkin perbelanjaan bulanan akan bertambah sekitar RM200 atau RM300 dan menjadikan jumlah keseluruhan RM700 hingga RM800 sahaja.

Iklan

"Nilai tersebut mewakili 5.3 peratus sahaja daripada gaji kumpulan berkenaan dan ini menandakan mereka lebih daripada mampu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Iklan

Anwar berkata, sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Bagaimanapun, Ahmed Razman berkata, bagi memastikan penyasaran subsidi ini adil, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum ia dilaksanakan.

"Sebenarnya tiada klasifikasi B40, M40 dan T20 tapi bantuan itu bergantung kepada beberapa kriteria sebagai contoh pendapatan isi rumah bulanan, bilangan anak dan tanggungan, lokasi tempat kerja serta jenis kenderaan yang digunakan.

"Sekarang ini, kita perlu tunggu pengumuman daripada kerajaan tentang pelaksanaan sebenar penyasaran subsidi ini. Mungkin kerajaan akan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengambil kira kriteria tersebut,” ujarnya.