Cabaran memancing terbuka Selangor tawar RM60,000

Iklan
Pertandingan Memancing Terbuka Selangor akan diadakan di Pantai Tanjung Harapan, Klang pada 26 Oktober ini. Gambar kecil: Izham

SHAH ALAM – Hadiah wang tunai bernilai RM60,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan, Klang yang akan diadakan pada 26 Oktober ini.

Jurucakap pertandingan, Md Zali Kasran berkata, pertandingan itu merupakan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Wak Jali Event Management.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemenang tempat pertama berpeluang membawa wang tunai RM20,000 manakala tempat kedua pula RM4,000 dan ketiga RM2,000.

Tambah beliau, pemenang tempat keempat menerima RM1,000, kelima sebanyak RM800, tempat keenam hingga ke-10 akan membawa pulang wang berjumlah RM500, manakala pemenang tempat ke-21 hingga 150 menerima RM150.

Iklan

"Acara ini akan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan memberi kelebihan kepada pemancing berasal dari Selangor serta pemastautin tetap di negeri ini.

"Ini berikutan, tambahan hadiah sebanyak RM6,000 akan diberikan kepada rakyat negeri Selangor jika mereka berjaya menduduki tempat pertama hingga ketiga.

Iklan

"Tambahan hadiah bagi tempat pertama ialah RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000. Hadiah ini adalah sebagai galakkan kepada rakyat Selangor keluar beriadah.

"Bagi kategori khas ikan belukang dan ikan duri, penganjur menyediakan hadiah RM500 untuk juara, kedua RM300 dan ketiga RM200,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, menurut Md Zali, idea penganjuran acara itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Tambah beliau, selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang 50 hadiah cabutan bertuah termasuk satu unit televisyen 50 inci dan dua unit televisyen 32 inci.

Ulasnya, mereka yang berminat untuk menyertai acara itu perlu membayar RM90 untuk satu joran, manakala peserta kurang upaya (OKU) pula RM60.

"Siri kedua Pertandingan Memancing Terbuka Selangor akan diadakan pada 8 Disember ini di Pantai Bagan Lalang, Sepang dengan menawarkan hadiah lebih lumayan.

"Sebarang pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479,” katanya.