KOTA BHARU - Peruntukan tambahan sebanyak RM5.5 juta bagi menambah baik Pasar Siti Khadijah di sini akan mewujudkan suasana lebih kondusif di pasar ikonik Kelantan itu.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar berkata, transformasi ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga tetapi juga kepada pengunjung.
Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut akan digunakan untuk kerja-kerja seperti pendawaian elektrik, mengecat bahagian dalam dan luar pasar, pembaikan struktur longkang, serta penambahbaikan kemudahan tandas.
"Kami dimaklumkan kerja-kerja tersebut akan dimulakan minggu hadapan dengan langkah pertamanya adalah kerja pembersihan sampah di seluruh bangunan pasar dan seluruh proses penambahbaikan dijadualkan siap dalam tempoh lapan minggu," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, peruntukan ini sangat bermakna bagi rakyat Kelantan, khususnya 1,400 peniaga yang bergantung kepada pasar itu sejak 1985.
Ahmad Nazri berkata, Pasar Siti Khadijah bukan sahaja berfungsi sebagai pusat perniagaan utama rakyat Kelantan, tetapi juga merupakan destinasi wajib bagi pelancong yang datang ke negeri ini.
Beliau menjelaskan bahawa penambahbaikan ini akan memberi 'persegaran' kepada pasar, menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negeri, serta merancakkan lagi aktiviti perniagaan.
Siti Hajar Rosli, 32, seorang peniaga keropok lekor yang mewarisi perniagaan daripada mentuanya, turut menyambut baik usaha kerajaan.
Beliau berkata, keprihatinan ini sangat bermakna kepada semua peniaga, memandangkan pasar tersebut telah lama tidak diselenggara dengan baik.
"Sudah tiba masanya pasar yang suram ini diberi nafas baharu bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria," katanya.
"Sebagai peniaga, kami memang harap pasar ini diceriakan semula kerana memang banyak rungutan diterima daripada pengunjung luar yang mengatakan pasar ini 'indah khabar dari rupa'," katanya.
Seorang lagi peniaga, Amin Zulkifli, 33, berkata, kewujudan pelbagai pasar raya besar di Kelantan memberikan saingan sengit kepada peniaga di Pasar Siti Khadijah jika pasar itu tidak ditambah baik.
Menurutnya, langkah kerajaan untuk menaik taraf pasar tersebut sangat tepat pada masanya, terutama dengan trend perniagaan dalam talian yang semakin menjadi pilihan pembeli.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025, turut menyentuh tentang kunjungannya ke beberapa negeri untuk bertemu rakyat dan mendengar permasalahan mereka, yang membantu dalam merangka belanjawan tersebut.
Antara lokasi yang dilawati ialah Pasar Siti Khadijah, dan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf pasar ikonik tersebut.
Perdana Menteri berkata:"Saya berkunjung ke Pasar Siti Khadijah, Kelantan, untuk melihat sendiri keadaan pasar yang daif dengan beberapa masalah asas seperti bumbung, tandas, bekalan elektrik dan air yang terus membelenggu warga serta peniaga, selain ancaman banjir. Namun, semangat mereka tetap cekal dan kuat."
Belanjawan 2025 akan terus perkukuh industri semikonduktor Malaysia - Persatuan
KUALA LUMPUR - Industri semikonduktor Malaysia dijangka terus kukuh dengan pelbagai inisiatif digariskan di bawah Belanjawan 2025, termasuk Inisiatif Daya Tahan Rantaian Bekalan dan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu.
Pengarah Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Andrew Chan berkata, belanjawan itu, dengan tumpuan lebih tinggi terhadap pembangunan bakat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mengukuhkan lagi peranan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
"Usaha ini untuk meningkatkan daya saing negara dalam sektor semikonduktor dan langkah-langkah yang digariskan dalam belanjawan itu menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang dan daya tahan industri,” katanya kepada Bernama.
Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat, memperuntukkan RM421 bilion, terdiri daripada perbelanjaan mengurus sebanyak RM335 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM86 bilion.
Belanjawan itu turut memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu termasuk dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.
Kerangka itu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu, dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.
Dalam meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik (E&E) melalui aktiviti bernilai tambah tinggi contohnya seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.
Dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.
Mengenai pelan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) pada awal tahun depan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Chan melihatnya sebagai langkah proaktif oleh kerajaan.
Beliau berpendapat, hasil levi tersebut akan dilaburkan semula dalam industri bagi tujuan automasi dan mekanisasi, selaras dengan galakan kepada transformasi digital dan meningkatkan kecekapan.
"Kami berharap untuk mendengar butiran lanjut mengenai MTLM,” katanya.
Belanjawan 2025: Peruntukan RM560 juta perkukuh kawalan sempadan negara - Penganalisis
KUALA LUMPUR - Peruntukan berjumlah RM560 juta yang disalurkan menerusi Belanjawan 2025 untuk memperkasakan sempadan negara disifatkan sebagai bertepatan dengan situasi semasa.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, pengumuman itu amat dinantikan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) sebagai agensi tunggal yang mengawal pintu masuk negara bagi membolehkan agensi itu beroperasi dengan lebih efisien.
"Pengumuman peruntukan itu termasuk perolehan teknologi dron dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) adalah langkah tepat bagi mengekang jenayah penyeludupan barangan seperti dadah dan senjata api yang kerap dilaporkan berlaku di kawasan sempadan dan pintu masuk negara.
"Agensi penguat kuasa di pintu masuk tanah air juga dicadangkan untuk membuat perolehan kamera badan bagi mengurangkan risiko berlakunya rasuah sekali gus meningkatkan imej pasukan keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Mengulas tentang peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk pembinaan beberapa pejabat polis baharu, Shahul Hamid berkata, ia penting bagi meningkatkan keselamatan balai polis yang telah usang, lebih-lebih lagi selepas berlakunya serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lepas.
"Aspek keselamatan perlu dipertingkat dalam pembinaan balai polis baharu kerana ia bukan sahaja untuk melindungi anggota, tetapi juga keluarga mereka yang tinggal di kuaters-kuaters di dalam balai berkenaan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menerima peruntukan RM19.5 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM500 juta berbanding 2024.
Kementerian Pertahanan pula akan menerima RM21.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM1.4 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Bagi penganalisis pertahanan, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula peruntukan bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu enam kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2, sebuah kapal ‘multi purpose mission ship’ dan dua kapal ronda generasi baharu, menggambarkan kerajaan serius dalam mengawal sempadan negara.
"Pengumuman kerajaan itu menggambarkan perhatian terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah khususnya melibatkan konflik persempadanan di Laut China Selatan dan ia akan membina satu keadaan yang lebih baik bagi keselamatan sempadan negara,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan RM50 juta pula dilihat mampu membentuk ‘minda keselamatan’ terhadap generasi muda dan memberi pendedahan berkaitan isu-isu keselamatan di negara ini.
Seorang lagi penganalisis pertahanan, Dr Azmi Hassan berkata, rakyat tidak perlu khuatir apabila tiada peningkatan mendadak peruntukan bagi menangani isu di Laut China Selatan contohnya untuk pembelian aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Selain kerajaan menekankan langkah diplomasi dalam menangani isu di Laut China Selatan, peruntukan boleh disalurkan untuk banyak perkara lain, terutama terhadap penjagaan sempadan apabila MCBA baru sahaja ditubuhkan,” katanya.
Azmi berkata, pertambahan peruntukan bagi KDN dan Kementerian Pertahanan berbanding tahun lepas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan kedua-dua kementerian dalam menangani pelbagai isu pada masa ini.
"Malah jika digabung kedua-dua peruntukan itu, ia akan menjadi peruntukan tertinggi yang diperoleh, mengatasi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Belanjawan 2025: Malaysia terus beri tumpuan serius pembangunan AI
KUALA LUMPUR - Malaysia terus memberi tumpuan serius kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Jumaat lepas.
Menerusi Belanjawan 2025 bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat' itu beberapa universiti penyelidikan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberikan peranan dalam memperkasakan bidang itu dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pemilihan universiti itu untuk menerajui antaranya AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu tanggungjawab yang harus disempurnakan sebaiknya.
"Melalui Ikhtiar 40 di bawah AI, UKM akan menerajui tekno interaktif AI dalam pembangunan alih bahasa Melayu yang lebih tepat dan menyeluruh. Inisiatif ini bertujuan untuk membangunkan aplikasi Model Bahasa Melayu Nasional (LLM-BM) khusus bagi sektor awam di Malaysia.
"Hal ini bagi memenuhi keperluan nasional serta menyokong peningkatan penggunaan teknologi bahasa berasaskan AI dalam perkhidmatan awam. Walaupun LLM (Model Bahasa Besar) sedia ada telah banyak membantu dalam pemprosesan bahasa semula jadi (NLP), terdapat kelemahan ketara dalam penerapannya untuk bahasa Melayu,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pembangunan LLM-BM akan berpusat di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM sebagai hab pembangunan kolaborasi manakala Pusat Pengajian Bahasa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan untuk semakan pakar bahasa, selain turut berkerjasama dengan Fakulti Al Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai pusat penyelarasan projek.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohamad Sadullah menyifatkan, penubuhan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit, adalah satu pengiktirafan buat universiti itu.
"UPM akan menggembleng tenaga dalam bidang AI, pengkomputeran kuantum dan kriptografi serta lain-lain kepakaran berkaitan daripada pelbagai fakulti dan institut penyelidikan untuk memastikan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia ini dapat dimulakan dan terus berkembang bagi membantu negara mendepani cabaran siber sekuriti.
"UPM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), NACSA dan Kementerian Digital yang telah mengiktiraf sumbangan universiti ini serta rakan industri yang terus menjadi testimoni keupayaan UPM dalam bidang ini,” katanya.
Anwar menerusi Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta dengan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) ditingkatkan kepada RM600 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) turut disediakan dana RM170 juta yang akan dimanfaatkan bagi menyediakan geran padanan untuk badan swasta dan industri memacu program R&D.
Program Malaysia Techlympics dengan peruntukan RM10 juta juga terus diperhebat sebagai dorongan melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang robotik dan teknologi AI. - Bernama