Penjara ajar 'Abah Hayat' kenal diri, kenal ALLAH

Iklan
Khairul Anuar menyifatkan meringkuk di penjara lebih 23 tahun merupakan pengalaman 'berharga' buatnya, kerana di situlah dia belajar mengenal diri serta Allah, justeru menjadikannya insan yang lebih baik pada hari ini. Foto Bernama

ALOR SETAR - Bekas banduan sepanjang hayat, Khairul Anuar Zakaria menyifatkan meringkuk lebih 23 tahun di penjara, memberikan pengalaman ‘berharga’ kerana beliau berpeluang belajar mengenal diri untuk menjadi insan yang lebih baik pada hari ini.

Khairul Anuar, 64, yang mesra dengan jolokan Abah Hayat berkata, beliau sudah mula mengenali ALLAH dan mampu berkongsi ilmu dengan orang lain hasil didikan guru agama di penjara.

Iklan
Iklan

"Jika dilihat secara tersurat penjara adalah satu bentuk hukuman berat kepada mereka yang melakukan kesalahan, namun terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menjadi lebih baik atau sebaliknya.

"Di penjara banduan dibenarkan belajar pelbagai ilmu, mohon buku-buku untuk dibaca, ada guru-guru yang sedia membantu, jadi abah gunakan peluang itu untuk menambah ilmu agama dan keluarga juga memberi sokongan padu dari luar,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Hasan, Bukit Pinang dekat sini.

Iklan

Abah Hayat berkata, sebelum dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 3 Oktober, beliau sudah mempersiapkan diri untuk kembali ke pangkuan masyarakat, dan berhasrat membimbing golongan muda supaya tidak terjebak dalam kancah jenayah yang akhirnya akan memusnahkan masa depan mereka.

"Semasa di dalam penjara, abah diberi tugas sebagai pembantu murabbi dan abah jumpa ramai banduan muda berusia 20-an terjebak dengan jenayah. Abah sedih melihat anak bangsa abah jadi begitu dan lebih sedih bila ada yang dah keluar tapi masuk semula ke penjara.

Iklan

Abah Hayat berkata, beliau sememangnya melakukan kesalahan sangat besar, namun telah menjalani hukuman yang ditetapkan para hakim yang arif dan kehidupan di penjara sudah cukup memberi pengajaran hebat kepadanya. Foto Bernama

"Abah tak salahkan mereka sepenuhnya, kerana abah akui bukan mudah bekas banduan ini nak diterima masyarakat, abah sendiri sedang lalui situasi ini, dan ia amat sukar sekali terutama bagi yang tidak tahan dengan dugaan,” katanya.

Abah Hayat berkata, beliau sememangnya melakukan kesalahan sangat besar, namun telah menjalani hukuman yang ditetapkan para hakim yang arif dan kehidupan di penjara sudah cukup memberi pengajaran hebat kepadanya.

Ditanya mengenai harapan, Abah Hayat berkata, beliau mahu menonjolkan diri agar lebih dikenali, supaya kisahnya dapat dijadikan pengajaran dan bersedia dijemput oleh mana-mana pihak untuk berkongsi pengalaman, kerana percaya dengan cara itu beliau dapat membantu masyarakat.

Ujarnya, buat masa ini beliau aktif membuat perkongsian di laman sosial TikTok dengan bantuan anak-anak yang memberikan sokongan penuh terhadapnya, untuk meneruskan tugas sebagai murabbi walaupun sudah berada di luar penjara.

Pada 2008, Abah Hayat dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh seorang tukang besi dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian, sebelum mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.

Pada Februari 2024, kesnya dibawa semula ke Mahkamah Alor Setar kerana kerajaan telah memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan dan hukumannya digantikan dengan penjara selama 35 tahun daripada tarikh tangkap pada 2001.

__________________________________________________________________________________

Abah Hayat harap diberi peluang untuk kembali berbakti

ALOR SETAR - Pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat memberikan peluang kedua kepada Khairul Anuar Zakaria, 64, untuk memulakan kehidupan baharu

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Abah Hayat dibebaskan daripada Penjara Pokok Sena, dekat sini pada 3 Oktober lalu tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan untuk berbakti kepada ibunya yang kini berusia 84 tahun.

Menurutnya, pengalaman di dalam penjara selama 23 tahun dan ilmu agama yang didalami mengajarnya erti kesabaran selepas dia didapati bersalah membunuh dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian pada 4 Jun 2001.

"Allah takdirkan saya dibebaskan selepas mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018, saya terselamat dari tali gantung dan dibebaskan 3 Oktober lalu.

"Perbuatan saya mengakhiri nyawa orang mengubah hidup saya, namun kerana perbuatan itu, saya mahu orang lain mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

"Kini saya mahu diberikan peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan ibu saya sebelum saya dijemput Ilahi,” katanya semasa ditemui di rumahnya, di Bukit Pinang, di sini pada Ahad.

Jelas bapa kepada sembilan anak itu, kejadian ibunya yang menangis dan pengsan ketika hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya antara detik paling pilu di dalam hidupnya.

Menurutnya, kejadian tersebut memberikan kesan mendalam dalam hidupnya dan sentiasa memikirkan tentang ibunya sepanjang menjalani hukuman di penjara.

"Saya rasa itu kesalahan saya paling besar kepada emak. Tapi hari ini alhamdulillah ALLAH beri saya peluang keluar sebab saya kenang balik hadis Rasullullah SAW.

"Celaka lah bagi seseorang apabila dia tidak dapat masuk syurga Allah sedangkan dia dapat hidup bersama ketika ibu ataupun bapanya yang tua,” ujarnya.

Khairul berkata, dia berhasrat untuk terus memberikan motivasi kepada bekas banduan yang pernah menjadi anak didiknya semasa di penjara sebelum ini.

Tambahnya, dia juga mengharapkan masyarakat agar tidak memandang serong terhadap semua bekas banduan sebaliknya memberikan sokongan untuk mereka kembali menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Bagi lah ruang kepada saya untuk membimbing anak bangsa saya untuk meniti akhir usia saya sebab di dalam sana ada beberapa ramai juga yang dapat mengucap syahadah ketika bersama saya.

"Ramai yang hubungi saya dan jika ada peluang, saya mahu bantu bekas banduan memberikan motivasi kepada mereka. Saya tahu ramai yang terjebak semula dalam kegiatan tidak baik kerana pengaruh sekeliling," katanya lagi.

Pada 22 September 2008, media melaporkan Khairul Anuar yang merupakan seorang jurujual dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian.

Sementara itu, dua lagi tertuduh dalam kes tersebut iaitu Ariffin Ahmad, 47, dan Muhammad Zaidi Salleh, 42, dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Datuk Kumbar, di sini antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.

Khairul Anuar kemudian mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.

Pada Februari 2024 pula, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Alor Setar semula kerana kerajaan memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan di penjara dan hukumannya digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 2001.