KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 1,443 nasihat kepada pemilik dan pengendali premis bagi memberi pemahaman berkait Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tindakan dibuat menerusi operasi di 10 daerah yang dijalankan bermula 1 hingga 14 Oktober lalu.
"Dalam operasi itu, penguat kuasa memeriksa keseluruhan 1,201 jenis bilangan premis iaitu empat kedai khas menjual rokok elektronik, cerut dan rokok, 52 kedai serbaneka dan 49 kedai runcit.
"Selebihnya yang diperiksa ialah 502 premis makanan, kedai makan dan 594 premis kategori lain-lain,” katanya pada sidang akhbar sempena Operasi Mega Bersepadu JKNK Penguatkuasaan Akta 852 di sini pada Ahad.
"Aspek-aspek yang ditekankan termasuk pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April tahun depan, pembungkusan dan pelabelan (1 Oktober tahun depan).
"Juga kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaini memberitahu, penguatkuasaan pendidikan diteruskan JKNK menerusi Operasi Mega Bersepadu di sekitar Kota Bharu.
"Operasi ini bertujuan sama dengan melibatkan lebih ramai anggota penguatkuasa iaitu 160 daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.