Hanya selisih faham, bukan samun - polis

Iklan
Tangkap layar video tular mengenai kejadian itu di Pekan Kuala Pilah.

KUALA PILAH - Tiada kejadian samun sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua wanita di sebuah kedai runcit di Pekan Kuala Pilah di sini yang dikaitkan dalam video tular di media sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berusia 70 tahun pada Jumaat lalu kira-kira jam 6 petang.

Iklan
Iklan

"Laporan berkenaan berkaitan perselisihan faham dengan seorang pelanggan wanita berusia 30 tahun di kedai runcit miliknya susulan isu kehilangan wang hasil jualan kedainya.

"Siasatan lanjut yang dijalankan di tempat kejadian mendapati bahawa tiada keterangan bagi mengaitkan mengenai kehilangan wang tersebut dengan unsur jenayah dan mendapati ia hanya perselisihan faham sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambah beliau, kedua-dua pihak telah dipanggil untuk memberi keterangan dan hasil perbincangan antara kedua-duanya menyatakan bahawa perselisihan faham telah berlaku dan mereka telah bermaaf-maafan antara satu sama lain.

"Orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan mengenai sesuatu kejadian dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum memuat naik gambar mahupun video di laman sosial.

Iklan

"Ia bagi mengelakkan masyarakat mendapat maklumat yang tidak tepat sehingga menimbulkan kegusaran," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video 16 saat yang memaparkan seorang wanita menunggang motosikal meninggalkan sebuah kedai runcit dan seorang lelaki cuba menahannya tetapi gagal.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pelayar media sosial selain ada yang mengaitkannya dengan kejadian samun.