Lumba rakit produk tumpuan promosi ekopelancongan Pahang

Iklan
Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Taman Negara Rakit Race 2024 berlangsung di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan pada Sabtu.

JERANTUT - Tourism Pahang dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara menganjurkan Taman Negara Rakit Race 2024 sebagai salah satu usaha mempromosi dan memartabatkan ekopelancongan di negeri ini.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, penganjuran lumba rakit bagi tahun kedua itu berlangsung di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pahang dikurniakan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi yang memukau mata dan sememangnya menjadi pilihan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

"Terpanggil untuk memartabatkan lagi ekopelancongan di negeri, Tourism Pahang mengambil inisiatif menganjurkan acara itu sebagai salah satu produk tarikannya," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Iklan

Kamaruddin berkata, pada pertandingan lumba rakit tahun ini, peserta dicabar dengan jarak perjalanan lebih jauh iaitu 17.5 kilometer (km) berbanding tahun sebelumnya hanya 12 km.

"Peserta menelusuri Sungai Tembeling yang deras bermula dari Kampung Pagi ke Taman Negara sambil mengharungi jeram-jeram dan lubuk.

Iklan

"Sebelum peserta dilepaskan, mereka turut diberikan taklimat keselamatan serta kursus 'water confident'," katanya.

Kamarudin menyempurnakan pelepasan peserta Taman Negara Rakit Race 2024 di Taman Negara Pahang,Kuala Tahan pada Sabtu.

Menurutnya lagi, selain beradu tenaga dalam lumba rakit, para peserta turut berpeluang melibatkan diri dalam sukan rakyat yang diadakan untuk memantapkan lagi semangat kerjasama dan mengeratkan hubungan antara mereka.

"Taman Negara Rakit Race 2024 yang diadakan buat kali kedua ini merupakan salah satu usaha untuk memanfaatkan kekayaan dan keindahan alam semula jadi di Malaysia khususnya di Taman Negara.

"Berdasarkan statistik, seramai 96,973 pelancong tempatan dan antarabangsa direkodkan berkunjung ke Taman Negara Pahang dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

"Pelancong asing dari Perancis, Jerman, Itali, Denmark dan China merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah kedatangan pelancong ke Taman Negara Pahang dalam tempoh itu," jelasnya.

Tambah beliau, secara keseluruhan, Pahang telah menerima lebih 5.9 juta pelancong merangkumi pelancong tempatan dan antarabangsa bagi tempoh suku kedua tahun ini

"Justeru, Tourism Pahang akan terus konsisten mempromosikan ekopelancongan negeri Pahang kepada pelancong dalam dan luar negara untuk memilih Taman Negara Pahang sebagai destinasi utama percutian ekopelancongan," katanya.