Perbezaan pandangan umat Islam perlu diuruskan secara beradab - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im (dua dari kanan) ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak anjuran Persatuan Duat Al Falah di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Ahad.

IPOH - Perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam harus diurus secara beradab terutama menerusi media sosial bagi mengelak perpecahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, setiap manusia mempunyai pandangan masing-masing dalam sesuatu isu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, amat penting menjaga adab ketika perselisihan pandangan dan peranan ilmuwan juga diperlukan bagi memberikan pencerahan dalam membentuk masyarakat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Jadi apa yang penting dan dalam konteks Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah untuk masyarakat memahami dan melaksanakan adab-adab ketika perselisihan pandangan.

Iklan

"Usaha ini penting bagi membina satu masyarakat yang kukuh kerana apabila kita hendak bangunkan kejayaan dalam konteks ekonomi, membangunkan negara, sosial dan sebagainya, kita tidak mampu untuk melakukannya kalau masyarakat itu berada dalam keadaan perpecahan dan tidak memahami adab-adab ketika berbeza pandangan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak anjuran Persatuan Duat Al Falah di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada Ahad.

Iklan

Mohd Na'im berkata, sesuatu pandangan yang suarakan menerusi media sosial juga perlu ada ilmu pengetahuan dan tidak perlu menggunakan perkataan tidak sewajarnya.

"Contohnya apabila kita berbeza pandangan, bahasa yang kita gunakan tidak boleh menjatuhkan maruah, memfitnah orang lain, merasakan kita ini yang paling bijak dan sebagainya. Yang itu tidak dibenarkan.

"Jadi bila mana masyarakat memahami tentang adab-adab perbezaan pandangan ini terutamanya di media sosial, platform ini akan dapat digunakan ke arah kebaikan, bentuk jati diri yang baik dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kritikan keras Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin terhadapnya berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024, Mohd Na'im tenang dan tidak melatah.

"Saya menghormati pandangan (Mohd Asri) itu. Semua orang masing-masing ada pandangan yang hendak disuarakan dan saya hormati.

"Insya-ALLAH RUU ini kalau tidak ada apa-apa, kita akan bentangkan dalam sidang Parlimen nanti," katanya.

Pada 16 Oktober lalu, media melaporkan Mohd Asri mengkritik keras Mohd Na'im berkaitan RUU berkenaan apabila mendakwa menteri itu belum tentu memahami berkaitan ajaran Al-Ashairah dan Al-Maturidiah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah Wal Jamaah.