KUANTAN - Seorang peniaga berdepan ujian berat apabila tiga premis perniagaannya berusia lebih 100 tahun yang diwarisi daripada arwah datuknya musnah dalam satu kebakaran pada petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, premis yang musnah ialah kedai karpet, runcit dan kain menyebabkan Sulaiman Abdul Aziz, 57, mengalami kerugian lebih ratusan ribu ringgit.
Sulaiman berkata, kejadian bermula apabila melihat kepulan asap dan percikan api di bilik penyimpanan barang yang terletak di bahagian belakang kedai karpet miliknya.
"Masa itu, saya baru lepas solat Asar di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu, ketika balik ke kedai, saya nampak asap dan api kecil dekat premis belakang kedai.
"Saya kemudian minta pekerja di kedai karpet tengok percikan api itu, sebelum menghubungi bomba," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian di Jalan Besar di sini pada Ahad.
Bercerita lanjut, Sulaiman memberitahu, pada awalnya berlaku gangguan elektrik di kedai tersebut beberapa kali.
"Lampu di dalam premis tiba-tiba padam, kami cuba hidupkan semula tetapi dua minit kemudian lampu terpadam lagi.
"Suis dibuka semula dan selepas 20 minit kemudian, kami dengar bunyi bumbung meletup dan situasi itu membuatkan kami keluar menyelamatkan diri," katanya.
Menurutnya, kerja-kerja memadam api dilakukan oleh pekerjanya, namun tidak berjaya kerana api marak dan cepat merebak disebabkan angin kuat.
"Angin kuat, alat pemadam api (sedia ada) tidak cukup untuk memadamkan api.
"Jadi, mahu tidak mahu saya berlapang dada apabila semua barang niaga musnah di hadapan mata," katanya yang masih belum mengetahui punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar dialami.
Sulaiman turut memaklumkan masih belum memikirkan perancangan untuk membina semula perniagaan ini.
"Jadi, kami belum tahu apa langkah seterusnya dan masih belum bincangkan perkara itu," jelasnya.