Lari sambil bawa kucing keliling sawah

Iklan
Sebahagian peserta larian sawah membawa kucing masing-masing bersiap sedia semasa acara pelepasan pada Ahad.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 300 peserta larian sawah di Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang di sini mencipta kelainan apabila sebahagian mereka turut membawa kucing peliharaan masing-masing pada Ahad.

Gelagat si bulus baka tempatan, parsi dan domestik itu berjaya mencuri tumpuan apabila turut bersama-sama peserta dalam acara larian sejauh enam kilometer itu.

Iklan
Iklan

Nazir Masjid As Solihin, Sungai Burong, Abdul Halim Mohd Yusof berkata, larian merentas sawah kali ini unik apabila peserta membawa kucing dalam troli atau beg sandang.

"Lebih menarik apabila kucing kesayangan turut dihiasi dengan aksesori dibawa untuk berlari bersama-sama peserta," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Salah seorang peserta turut membawa kucing peliharaan dalam acara Meaooow Fun Run di Tanjong Karang pada Ahad.

Perasmian dan pelepasan peserta itu disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Maruwan Ahmad.

Iklan

Menurut Abdul Halim, aktiviti seumpama itu julung kali diadakan dan merupakan inisiatif penganjur Meaooow Fun Run dengan kerjasama produk makanan kucing, Tomkraf.

Beliau memberitahu, pihaknya amat menyokong aktiviti riadah sihat seperti itu terutama bagi mendekatkan golongan muda dengan masjid.

"Selain aktiviti berbentuk keagamaan, kita juga menganjurkan pelbagai program yang mampu menarik golongan muda kepada masjid.

"Kita yakin, golongan muda lebih dekat dengan masjid dan usaha mengimarah akan dapat lebih diperhebatkan pada masa akan datang," ujar beliau.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Tomkraf, Nurul Husna Azmi berkata, program itu kerjasama kali kedua antara pihaknya dengan Meaooow Fun Run.

Gelagat peserta membawa kucing semasa acara larian berkenaan.

Jelas beliau, program itu sebelum ini diadakan di Klang dikenali Meaooow Fun Run IKIMfm 2024.

"Bagaimanapun, acara larian ini sedikit berbeza berbanding sebelum ini apabila peserta dapat menikmati pemandangan sawah padi," ujarnya.

Beliau memberitahu, program itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan produk makanan kucing tempatan kepada penduduk setempat.

Kata beliau, pihaknya turut memberi sumbangan makanan kucing dan buku nota kepada pemenang dalam acara larian itu.

"Kami sangat menghargai inisiatif yang dilakukan Meaooow Fun Run dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Nurul Husna memberitahu, Tomkraf produk keluaran Kumpulan Karangkraf sepenuhnya buatan Malaysia dilengkapi nutrisi lengkap untuk kesihatan kucing berusia satu tahun ke atas atau pun dewasa pada harga mampu milik.

"Keistimewaan produk terbaharu ini adalah ia didatangkan dengan kandungan protein sebanyak 31.5 peratus malah dilengkapi pelbagai vitamin seperti vitamin A, vitamin D3, vitamin E, vitamin E2 dan vitamin K untuk membantu sistem pencernaan serta kesihatan kucing," tambah beliau.