KUANTAN - Peniaga mendakwa kebakaran di deretan kedai Jalan Besar di sini merupakan kejadian kedua berlaku di lokasi sama dengan kejadian pertama dilaporkan pada 5 Oktober 1995.
Penjual ikan masin, Thong Thiam Fook, 69, berkata, kebakaran pada Sabtu mengingatkannya kepada tragedi 29 tahun lalu yang meranapkan 17 premis termasuk kedainya.
Menurutnya, namun kebakaran berlaku membabitkan tiga premis di lokasi sama berkemungkinan berpunca daripada masalah pendawaian.
"Mungkin sebab lintas pintas dan di kawasan ini pula air tidak cukup kuat untuk padam api.
"Bermula di sini, kemudian boleh merebak ke kedai lain, tapi semalam (Sabtu) nasib baik hujan lebat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Besar di sini pada Ahad.
Thiam Fook meminta pihak berkaitan supaya dapat menambah baik kemudahan dan kelengkapan pemadaman api di sepanjang Jalan Besar dan Jalan Mahkota.
Seorang lagi peniaga akuarium, Koh Chip Wee, 65, memberitahu mendengar bunyi letupan kecil lalu keluar untuk melihatnya.
"Beberapa saat kemudian, api mula merebak dengan cepat. Saya cepat-cepat lari ambil kereta, masa itu bumbung sudah penuh dengan asap hitam," ujarnya.
Chip Wee berkata, walaupun kedainya tidak terlibat, namun dia tetap menyelamatkan dokumen penting termasuk komputer.
"Nasib hujan lebat selepas itu, kalau tidak, bangunan sebelah mungkin turut terbakar," katanya lagi.
Pada Sabtu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dilaporkan berkata, tiga premis perniagaan yang berusia lebih 100 tahun terletak di pusat bandar raya ini musnah dalam kebakaran.
Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.45 petang dan seramai 43 pegawai dan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Taman tas dan Gebeng, terbabit.