BATU PAHAT - Kampung di Sungai Ayam di sini dinaiki air sejak jam 10 pagi pada Ahad susulan fenomena air pasang besar.
Air pasang setinggi kira-kira 3.3 meter yang berlaku selama dua jam di kampung terbabit menyebabkan jalan tidak boleh dilalui dan terdapat beberapa rumah penduduk dinaiki air.
Penduduk Amran Satari, 59, berkata kejadian air pasang besar sudah menjadi lumrah bagi penduduk dan nelayan di Kampung Sungai Ayam.
Namun, dia tetap bimbang sekiranya hujan lebat berlaku serentak ketika air pasang besar sekaligus mengakibatkan banjir.
"Sebelum fenomena air pasang ini berlaku, penduduk bersiap sedia mengalihkan peralatan elektrik dan rumah ke tempat lebih tinggi untuk elak terkena air masin.
"Setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan kerana air akan surut dalam tempoh dua hingga tiga air pasang berlaku. Kebiasaannya air pasang berlaku pada bulan September hingga November," katanya ketika ditemui, pada Ahad.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Ah Chuan, 61, memberitahu dia sekeluarga telah bersedia dengan keadaan air pasang yang akan berlaku pada penghujung tahun.
Katanya, langkah sudah diambil memandangkan fenomena ini akan berlaku selama empat atau lima hari.
"Orang kampung di sini, kebanyakannya nelayan tahu tentang air pasang yang akan berlaku pada hujung tahun bermula pada Oktober kerana Monsun Timur Laut.
"Cuma kami risau jika berlaku hujan lebat fenomena ini bertambah buruk. Tetapi setakat ini, keadaan air pasang terkawal," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Sungai Ayam, Hamidi Nahar, 55, memberitahu generator turut disediakan untuk mengepam air sekali gus mengelak risiko lebih besar.
Katanya, terdapat 80 rumah dengan kira-kira 400 penduduk di kampung terbabit dengan mereka sudah dimaklumkan lebih awal agar bersiap sedia.
"Kami di sini bersyukur kerana tidak berlaku hujan dan cuaca baik, jika tidak ada beberapa tempat ditenggelami air kerana bertembung dan sistem perparitan akan penuh," katanya.