PUTRAJAYA - Pengelasan pendapatan rakyat selepas ini tidak lagi akan dibuat berdasarkan pendapatan kasar isi rumah semata-mata, tetapi akan mengambil kira pelbagai faktor agar ia lebih adil.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kaedah baharu yang sedang diteliti kerajaan untuk pengelasan pendapatan, antara lain akan mengambil kira pendapatan bersih isi rumah agar menjamin rakyat dapat menjalani hidup yang wajar.
"Saya boleh sahkan bahawa ia (kaedah pengelasan baharu) bukanlah menggunakan pendapatan isi rumah kasar semata-mata.
Proses untuk kita menambah baik berdasarkan pendapatan isi rumah bersih sedang berjalan.
"Ia akan mengambil kira banyak faktor-faktor lain juga. Sebaik kita putuskan perkara itu, baru kita boleh tetapkan garis stastistik (kumpulan populasi) seperti B40 dan T15,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2024 dan Prapelancaran Laman Statistik di sini, pada Ahad.
Sementara itu, ditanya mengenai penyarasan subsidi petrol RON95, Rafizi berkata, ia akan dilaksanakan dengan kaedah harga dua peringkat dengan hanya mereka yang tidak layak menerima subsidi iaitu kumpulan dengan pendapatan 15 peratus teratas, perlu membayar harga pasaran di pam minyak.
Rafizi berkata, 85 peratus rakyat akan terus boleh membeli bahan api itu pada harga bersubsidi, apabila penyasaran tersebut dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun sedang meneliti mekanisme terbaik bagi membolehkan perkara berkenaan dilaksanakan,
"Yang tidak layak mendapat subsidi itu yang disebut T15. Siapa sebenarnya T15, ini yang kita sedang proses nak tentukan.
"Tetapi untuk rakyat lain, kita ada kira-kira 30 juta orang, mekanismenya itu yang sekarang ini sedang dibincangkan dan diperhalusi untuk pelaksanaan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani Ketiga 2025 pada Jumaat berkata, kerajaan memberi jaminan akan mempertahan kepentingan rakyat terbanyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi.
Anwar berkata, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dan penjimatan yang dicapai daripadanya akan dimanfaat untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Belanjawan 2025: Peruntukan terbesar terjemahan kepada tatakelola baik, disiplin fiskal berhemat - Rafizi
PUTRAJAYA - Peruntukan terbesar dalam sejarah sebanyak RM421 bilion menerusi Belanjawan 2025 merupakan terjemahan hasil tatakelola yang baik, disiplin fiskal berhemat dan pertumbuhan ekonomi negara yang cepat, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, faktor itu membolehkan kerajaan berbelanja lebih tetapi masih kekal pada sasaran fiskal bertanggungjawab yang telah ditetapkan dan komitmen untuk terus mengurangkan hutang negara.
"Hutang tahunan itu daripada RM100 bilion pada 2022 kemudian turun kepada RM95 bilion, RM90 bilion, RM85 bilion dan tahun depan RM80 bilion.
"Ini kerana dari segi fiskal itu ialah kita perlu mengurangkan hutang baharu tahunan dan ini untuk kita mencecah sekitar 60 peratus hutang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menjelang 2028,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) dan PraPelancaran Laman Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM421 bilion, meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk pembangunan.
Menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai menepati semua perancangan kerajaan, Rafizi berkata, belanjawan itu memberi ruang dan tumpuan penting selaras dengan Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling ekonomi dan lantai pendapatan rakyat.
"Kita berada di landasan yang betul tanpa kita memotong perbelanjaan rakyat. Sebenarnya projek terus berjalan macam biasa (malah) akan lebih banyak, gaji penjawat awam dinaikkan, peruntukan untuk gaji progresif swasta telah bermula tetapi dengan jumlah yang besar itu tidak dicapai dengan berhutang seperti sebelum ini,” katanya.
Bagi menaikkan siling ekonomi, katanya, kerajaan menumpukan kepada bentuk pelaburan yang penting kerana usaha itu akan memacu ekonomi negara.
Bagi menaikkan lantai pendapatan rakyat pula, Rafizi berkata, kerajaan memberi fokus utama kepada golongan rentan melalui peruntukan yang akan diagihkan dalam bentuk bantuan serta pelaksanaan program yang berpotensi menjana pendapatan dan ekonomi golongan itu.
"Kita menjaga kumpulan ini. Sebenarnya lebih besar tambahan kepada STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan tambahan kepada bentuk bantuan kepada golongan rentan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 turut mengumumkan peningkatan tertinggi bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, yang akan memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara. - Bernama