Jutaan penduduk Cuba masih terputus bekalan elektrik

Iklan
Jutaan penduduk di Cuba masih terputus bekalan elektrik akibat gangguan berpanjangan di loji jana kuasa utama di negara itu. Foto AFP

BOGOTA - Jutaan penduduk di Cuba masih terputus bekalan elektrik akibat gangguan berpanjangan di loji jana kuasa utama di negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Laporan menyatakan bahawa kerosakan di Loji Jana Kuasa Antonio Guiteras di Matanzas pada Jumaat menyebabkan kebanyakan kawasan di Cuba bergelap.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa setelah usaha intensif, bekalan elektrik mula dipulihkan di beberapa kawasan termasuk ibu negara Havana.

Bagaimanapun, kira-kira 80 peratus negara masih belum menerima bekalan elektrik dan beberapa kawasan mengalami gangguan selama lebih 30 jam.

Iklan

Foto di media sosial menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa José Martí di Havana diselubungi kegelapan.

Pada masa yang sama, pegawai tenaga yang dipimpin oleh Presiden Miguel Diaz-Canel sedang menilai langkah-langkah untuk mengatasi gangguan ini.

Iklan

Cuba sering menghadapi masalah bekalan elektrik disebabkan isu di loji jana kuasa yang kurang diselenggara, kebanyakannya dibina lebih 40 tahun lalu oleh Kesatuan Soviet.

Kementerian Tenaga dan Perlombongan menjelaskan bahawa negara itu menggunakan 8 juta tan bahan api setiap tahun, namun hanya 3 juta tan dihasilkan dalam negara.

Sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Cuba memaksa negara itu bergantung kepada Venezuela, Rusia, dan Mexico untuk memenuhi keperluan tenaganya.

Diaz-Canel menulis di platform X bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik akan diteruskan sehingga keadaan kembali pulih. - Bernama