JOHOR BAHRU - Bimbang ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen, beberapa warga asing cuba melarikan diri dengan bertindak terjun ke dalam sungai serta lari bertempiaran dalam serbuan Op Kutip di sebuah tapak projek perumahan di Kluang pada Jumaat lalu.
Operasi bermula jam 10 pagi itu dilaksanakan Unit Penguatkuasa Cawangan Batu Pahat, Segamat, Muar dan Kluang serta Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Johor.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, bagaimanapun kesemua individu terbabit berjaya diberkas semula dalam pemerikasaan yang dilakukan terhadap 85 warga asing dan tempatan dalam operasi terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan 43 warga asing ditahan membabitkan 34 lelaki dan empat wanita warga Bangladesh serta lima lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun manakala seorang majikan turut ditahan.
"Tindakan penguatkuasaan ini diambil selepas menerima aduan awam berhubung warga asing bekerja di tapak pembinaan terbabit tanpa pas atau permit yang sah.
"Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
"Selain itu, mereka juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963" katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, seorang lelaki warga tempatan merupakan wakil majikan bagi kontraktor utama tapak perumahan tersebut di tahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dikenakan tindakan notis.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Rusdi berkata, enam warga asing ditahan dalam Op Sapu hasil pemeriksaan di tiga premis inap desa di Mersing pada Khamis.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan empat wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 54 tahun tidak mempunyai pas atau permit yang sah serta tinggal lebih masa.
"JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal dan bekerja di negara ini.
"Kami ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas dan permit kerja yang sah," katanya.