Polis Johor tumpas sindiket dadah guna peranti vape

Iklan
Kumar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam dua operasi berasingan pada sidang media di IPK Johor. Foto Polis Johor

JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peranti rokok elektronik atau vape, dengan penahanan tiga individu dalam satu operasi khas melibatkan tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, pada Rabu hingga Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM2.827 juta, serta menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur 27 hingga 44 tahun antara jam 6.45 petang hingga 4 pagi.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi ini kita berjaya merampas 16,345 gram (g) serbuk ekstasi, 225.0g ketamin, 68.87g syabu, 40g (140 biji) pil eramin 5, 115g (294 biji) pil ekstasi, 14.75g ganja serta 330 mililiter cecair disyaki dadah yang mengandungi 10 katrij vape serta lima botol isian semula.

"Kita juga telah menyita sebuah kereta dengan nilai sitaan RM44,000 serta wang tunai berjumlah RM160.00. Jumlah nilai rampasan dan sitaan bagi operasi ini ialah RM3,899 juta.

Iklan

"Sindiket ini dipercayai menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal dalam tempoh pendek untuk memastikan mereka gagal dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sindiket yang aktif beroperasi sejak Ogos lepas itu, menggunakan pangsapuri sebagai stor dan tempat pemprosesan serta pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Iklan

Kumar berkata, hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sementara itu, Kumar dalam sidang media sama turut memaklumkan kejayaan polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah membabitkan rampasan bernilai RM871,068, dalam satu serbuan di sekitar daerah ini pada Selasa lepas.

Kumar berkata, dua lelaki dan seorang wanita tempatan berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri yang dijadikan sebagai stor dan tempat pemprosesan serta pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Dalam operasi ini kita berjaya merampas 5.025g serbuk ekstasi, 1.65g ketamin, dan 189 mililiter cecair ekstasi bernilai RM871,068.

"Polis juga menyita dua buah kereta dengan nilai sitaan RM155,000 dan wang tunai berjumlah RM1,850. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan bagi operasi ialah RM1.027 juta.

Kumar berkata, kesemua suspek bagi dua sindiket ini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Oktober di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan. - Bernama