Polis rakam keterangan anak Abuya dakwa dikurung

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan dia dikurung di Kampung Batu Hampar Dalam, Perak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, wanita berusia 41 tahun itu telah hadir ke Balai Polis Padang Gajah, Perak pada jam 11 pagi Ahad untuk dirakam keterangan.

Iklan
Iklan

"Hasil rakaman percakapan, pengadu menyatakan bahawa dia telah dikurung di dalam sebuah rumah dua bilik lebih kurang tempoh sebulan.

"Wanita itu juga menyatakan dia cuba melarikan diri, namun telah ditangkap dan dikurung semula," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Razarudin berkata, pegawai penyiasat dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping telah membawa wanita itu ke Perkampungan Maahad Sayuti Batu Hampar.

"Wanita itu telah menunjukkan rumah yang telah digunakan oleh pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) untuk mengurungnya sebelum dia dihantar kepada neneknya ke Kedah.

Iklan

"Proses pengecaman lokasi kejadian oleh pengadu berjalan lancar,” katanya.

Pada Sabtu, Razarudin dilaporkan berkata, polis sudah membuka kertas siasatan susulan pendedahan dibuat Ummu Atiyah berhubung dakwaan dikurung itu.

Beliau turut mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan seorang daripada pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar.

Katanya, pengadu memberitahu perkampungan terbabit dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.