SHAH ALAM – Satu rakaman video yang memaparkan gelagat mencuit hati seorang lelaki memujuk ibunya untuk membenarkannya berkahwin hingga dia berguling di tepi jalan tular di media sosial.
Seorang pengguna platform X, mhmmdhsm memuat naik rakaman video gurauan antara dua beranak terbabit di sebuah kedai makan di aplikasi tersebut pada Sabtu.
Video berdurasi satu minit lima saat itu menunjukkan si anak meminta kebenaran ibunya yang berbaju merah dan bertudung coklat untuk berumah tangga namun permintaannya tidak dilayan si ibu.
Si anak yang memakai baju-T, berjaket dan berseluar panjang hitam yang kelihatan ‘gagal’ memujuk si ibu kemudiannya berguling-guling sambil ketawa di tepi jalan bersebelahan meja makan mereka sebelum ibunya berlalu pergi.
"Pujuk mak sebab nak kahwin tapi (mak) tak kasi (bagi). Comel je maknya malas nak layan.
"Mesti anak kesayangan mak lah ini, itu yang tak bagi kahwin,” kata mhmmdhsm berseloroh.
Sehingga jam 6 petang Ahad video tersebut mendapat tontonan lebih 75,000 dengan sebanyak 121 ulang siar dan 422 tanda suka.