KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus menjadi rakan strategik Indonesia, selain meningkatkan ikatan persahabatan kedua-dua negara bersaudara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi perkongsian di Facebook beliau, turut melahirkan keyakinan bahawa pelantikan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan sama-sama membangunkan kerukunan dengan Malaysia dan mengangkat martabat rantau ini.
"Saya hadir dalam majlis yang penuh bermakna dan penting ini dalam konteks tinta sejarah demokrasi Indonesia serta perkembangan politik serantau selain sebagai tanda penghormatan buat bangsa Indonesia.
"Dengan perjalanan panjang politik Bapak Prabowo Subianto, dengan segala tantangan dan mehnah (ujian) yang dilalui, saya yakin beliau akan berkhidmat sepenuh hati serta akan turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan dan mengangkat martabat dan harkat rantau ini ke tingkat yang lebih baik,” kata Anwar.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri majlis mengangkat sumpah Prabowo, 73, sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad.
Beliau merupakan antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Perdana Menteri Serbia, Milos Vucevic; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.
Anwar juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Indonesia ketujuh Joko Widodo atas sumbangan dan kerjasama yang dihulurkan kepada Malaysia sepanjang menjawat jawatan itu dari 20 Oktober 2014 hingga 20 Oktober 2024.
Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.
Prabowo bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi. - Bernama