MCA mahu kerajaan pelihara, pertahan hak kebebasan bersuara rakyat

Iklan
Wee Ka Siong (tengah) ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-71 di Wisma MCA hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini menggesa kerajaan supaya terus memelihara dan mempertahan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

Ka Siong ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di sini, berkata ini kerana walaupun terdapat perbezaan pendapat, kesuburan demokrasi tidak boleh dimusnahkan sama sekali.

Iklan
Iklan

Beliau turut meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir pada perhimpunan itu, memanjangkan gesaan tersebut kepada pihak berkaitan bagi memastikan demokrasi di Malaysia kekal subur.

"Hak bersuara dan kebebasan rakyat kita wajib dipelihara dan dipertahankan. Janganlah disebabkan perbezaan pandangan, hendak dimusnahkan kesuburan demokrasi,” katanya.

Iklan

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Ka Siong juga berkata, MCA akan menyokong apa jua rang undang-undang yang baik dan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Iklan

Beliau berkata Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, yang akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen kali ini, perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk MCA sebagai parti komponen kerajaan walaupun ia tiada wakil dalam Kabinet.

"Terserah kepada Jemaah Menteri dan kerajaan hari ini, berlandaskan kepada nilai-nilai yang kita dukung selama ini, untuk memastikan apa jua rang undang-undang yang akan menjadi akta pada masa akan datang tidak memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.

Ka Siong juga berharap Ahmad Zahid dapat meyakinkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan status pengecualian cukai kekal kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta Yayasan Pendidikan UTAR (UTAREF) mengikut Seksyen 44(6) dan Seksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata meskipun Anwar, yang juga Menteri Kewangan, telah memberikan pengecualian cukai kepada UTAR dan membatalkan cukai serta denda RM83 juta yang dituntut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri namun isu pokoknya masih perlu diselesaikan.

"... kita di pihak MCA dan UTAR akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk mencari penyelesaian mutlak,” katanya.

Pada Ahad lepas, Anwar berkata kelewatan kelulusan pengecualian cukai kepada UTAR adalah berikutan universiti itu masih berada di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman yang belum dipisahkan strukturnya antara urusan syarikat perniagaan komersial dan pendidikan. - Bernama