BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa kumpulan Hizbullah yang disokong Iran cuba membunuhnya sejurus pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dilaporkan terkorban dalam serangan tentera Zionis di Rafah baru-baru ini.
Pejabat Netanyahu berkata pada Sabtu, sebuah dron telah dilancarkan ke arah kediamannya di pusat bandar Caesarea, namun beliau dan isterinya tiada di rumah semasa kejadian.
"Percubaan proksi Iran, Hizbullah untuk membunuh saya dan isteri saya adalah satu kesilapan besar.
"Sesiapa sahaja yang cuba mencederakan rakyat Israel akan membayar harga yang mahal,” katanya dalam komen yang ditujukan kepada Teheran dan Hizbullah.
Setakat ini, Hizbullah tidak mengakui melancarkan serangan itu, tetapi lewat Sabtu misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Iran berkata 'tindakan tersebut dilancarkan' Hizbullah.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, dron mengena sebuah bangunan di Caesarea sebagai percubaan mensasarkan Netanyahu.
Caesarea terletak kira-kira 20 kilometer di selatan bandar Haifa, yang sering menjadi sasaran Hizbullah.
Pada Ogos lalu, dron 'halimunan' Hizbullah dikesan merakamkan kawasan kediaman Perdana Menteri Israel sebelum dikesan radar kapal peluru berpandu tentera rejim tersebut.
Hizbullah telah berulang kali berikrar untuk memperhebatkan serangan ke atas Israel selepas tentera Israel pada hari Rabu membunuh pemimpin pergerakan Palestin, Yahya Sinwar di Gaza. - AFP