Warga emas meninggal dunia ketika daki Bukit Kledang

Iklan
Mangsa diberikan bantuan CPR sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

IPOH - Seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika sedang mendaki Bukit Kledang di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.24 petang mengenai keadaan lelaki berusia 71 tahun yang mengalami kepenatan dan sesak nafas ketika sedang melakukan aktiviti mendaki di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kemudian dilaporkan pengsan berhampiran dengan jalan menghala ke stesen pemancar sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketua operasi mengarahkan anggota untuk memberikan rawatan awal dan membuat bantuan CPR (Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari) terhadap mangsa.

Iklan

"Tidak lama kemudian, pegawai perubatan dari KKM (Kementerian Kesihatan) telah hadir di lokasi dan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sabarodzi berkata, susulan itu anggota JBPM membantu mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung pada ketinggian 800 meter dari aras laut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

Menurutnya, operasi yang disertai 11 anggota itu tamat jam 6.28 petang.