Sri Pahang bangkit catat kemenangan, Kuching City kempunan tiga mata

Iklan
Pemain Penang FC, Dylan Christopher Charles Wenzel Halls (kiri) merebut bola bersama pemain Sri Pahang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada Ahad. Foto Bernama

SRI Pahang FC bangkit daripada kekalahan lepas apabila menewaskan Penang FC 1-0 pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.

Penyerang import dari Ukraine, Mykola Ahapov muncul wira Sri Pahang selepas menjaringkan gol kemenangan pada penghujung masa tambahan separuh masa pertama hasil hantaran lintang Sergio Aguero.

Iklan
Iklan

Penang kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli terus buntu dalam usaha memburu gol penyamaan dan kedudukan 1-0 kekal hingga ke wisel penamat sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah bimbingan Fandi Ahmad berjaya meraih tiga mata pertama selepas tewas dan seri dalam dua aksi terakhir.

Sri Pahang kini berada di tangga kesembilan dengan mengumpul 14 mata selepas 12 perlawanan manakala Penang jatuh ke kedudukan ke-11 dengan mengutip 11 mata.

Iklan
Penyerang import Kuching City FC, Jordan Mintah menanduk bola ke pintu gol Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri pada Ahad.

Sementara itu, Negeri Sembilan FC meranapkan impian Kuching City FC mengutip tiga mata di laman sendiri selepas aksi di Stadium Negeri, Kuching berkesudahan 1-1.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan, aksi dramatik pada masa tambahan yang berlanjutan sehingga 15 minit menyaksikan penyerang gantian Ahmad Hazwan Bakri meledak gol buat Kuching City apabila melakukan sentuhan terakhir ketika kekalutan dalam kotak penalti lawan.

Iklan

Namun, Negeri Sembilan tidak mengalah apabila menyamakan kedudukan di saat-saat akhir menerusi tandukan ketua pasukan Annas Rahmat pada minit ke-90+15 selepas beliau melonjak tinggi untuk menyambut bola sepakan percuma Takumi Sasaki.

Kuching City naik satu anak tangga ke kedudukan ketujuh dengan mengumpul 15 mata selepas 12 perlawanan sementara Negeri Sembilan di tempat kedua tercorot apabila hanya mengutip enam mata. - Bernama