OIC selar pembunuhan beramai-ramai Israel di Beit Lahia Gaza

Iklan
Sekurang-kurangnya 73 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu oleh pengeboman Israel di bandar Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Ahad mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 70 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan yang lain.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan OIC mengecam tindakan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap semua norma antarabangsa, perjanjian, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan perintah berkaitan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Iklan
Iklan

Pertubuhan itu menegaskan dalam satu kenyataan bahawa kesinambungan dan peningkatan jenayah perang, kemusnahan, kebuluran, perpindahan paksa, menyasarkan orang yang terlantar dan menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan adalah satu noda pada maruah kemanusiaan.

OIC menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel bertanggungjawab atas semua jenayah perang yang dilakukannya dan menamatkan dasar kekebalan.

Iklan
Iklan

OIC juga memperbaharui seruannya kepada Majlis Keselamatan PBB agar menunaikan tanggungjawabnya dan melaksanakan gencatan senjata segera dan menyeluruh, menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera ke seluruh kawasan Semenanjung Gaza. - Bernama-WAFA