IPOH - Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) disifatkan terlalu lemah sehingga tidak ada pemimpin bersuara meminta penjelasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kerjasama melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas bagi membentuk Pakatan Nasional.
Bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, isu mengenai kerjasama itu dilihat bakal berlaku kerana menjadi perbincangan hangat dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Menurutnya, pemimpin PH sepatutnya tampil mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri kerana ia sesuatu yang amat serius dan boleh menjejaskan kedudukan PH.
"Saya nampak Majlis Presiden PH tidak proaktif. Kenyataan bahawa UMNO terima tawaran daripada Dr Mahathir, Majlis Presiden PH wajar mendapatkan penjelasan. Minta Dr Mahathir beri penjelasan kerana saya fikir mustahil Presiden dan MT UMNO bercerita tentangnya tanpa mendapat 'direct signal' daripada Perdana Menteri.
"Tak nampak lagi desakan daripada mana-mana pimpinan PH untuk dapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, yang ada cuma pertahankan Perdana Menteri. Ini sangat mengecewakan," katanya kepada pemberita selepas hadir sebagai ahli panel program Bual Bicara Reformis di sebuah hotel di sini malam tadi.
Hadir sama sebagai ahli panel pada program tersebut, Pengerusi Gerakan Reformis Anak Perak, Zulkifly Ibrahim; Pengerusi Otai Reformis Perak, Mustafa Mansor; Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari dan penulis, Shahbudin Husin.
Dalam pada itu, Mohamad Ezam berpendapat, disebabkan kelemahan Majlis Presiden PH itu juga, peralihan kuasa di antara Mahathir dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tersusun dengan baik.
Katanya, Majlis Presiden PH perlu memainkan peranan memperbetulkan keadaan memastikan proses transisi peralihan kuasa berjalan lancar dengan tidak terus membiarkan Mahathir berkuasa.
"Yang banyak diceritakan hanya kekaburan dan kucar-kacir dalam PKR yang bertujuan untuk menafikan peralihan kuasa. Kita tak boleh tunggu lagi kerana rakyat kini resah dengan keadaan ekonomi yang tak menentu.
"Peralihan ini perlu dimuktamadkan secara serius dengan menetapkan tarikh sebenar supaya negara kekal stabil," katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan rakyat yang terus tertekan, tidak mustahil rakyat akan kembali ke jalan raya untuk mendesak perubahan dilakukan kerajaan sedia ada.